MELAKA: Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan dirinya sudah melalui pelbagai 1,001 detik manis dan pahit ketika berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).

Baginya, semua itu adalah cabaran perlu dilaluinya sejak mula berkhidmat di MSN yang bermula sebagai Pegawai Belia dan Sukan MSN pada 1988 namun selepas bersara secara rasmi hari ini, masih ada sesuatu yang belum dicapai olehnya.

Ahmad Shapawi yang genap berusia 60 tahun hari ini berkata, harapan untuk melihat Malaysia meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik masih belum dicapai dan beliau mengharapkan kilauan ‘berharga’ itu dapat dijelmakan.

“Saya juga seorang bekas atlet dan diberi peluang mengemudi MSN bagi membawa satu dimensi baharu kepada sukan negara. Alhamdulillah, kita berjaya membuktikan sesuatu di Sukan SEA 2017 dan itu momen membanggakan.

“Kita juga muncul tempat keempat keseluruhan di Sukan Komanwel 1998… satu cabaran yang amat tinggi memandangkan kita sebagai tuan rumah dan beberapa sukan turut digerakkan daripada kejayaan program berkenaan.

“Sesuatu yang saya kesali adalah kita masih belum dapat memenuhi sasaran negara untuk mendapat pingat emas pertama di Sukan Olimpik walaupun kita berjaya mendapat pingat emas di Sukan Paralimpik.

“Namun untuk sukan Olimpik, kita masih belum dapat kejayaan. Jadi saya doakan Malaysia akan terus berjaya untuk memecahkan kebuntuan memenangi pingat emas di Sukan Olimpik,” kata Ahmad Shapawi ketika ditemui media pada penamat Peringkat 6 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, di sini, hari ini.

Sejak 1988, Shapawi pernah memegang beberapa jawatan antaranya sebagai Pegawai Belia dan Sukan MSN sehingga 1996 sebelum memegang tanggungjawab Pengarah Bahagian Persediaan Antarabangsa MSN; Pengarah Bahagian Dasar MSN; Pengarah Bahagian Atlet MSN; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia sebelum menggalas tugas Ketua Pegawai MSN.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai harapan kepada penggantinya, Ahmad Shapawi berkata, individu berkenaan harus mementingkan pembangunan sukan prestasi tinggi negara.

“Individu berkenaan perlu mempunyai kreativiti mewujudkan program latihan berpusat, yang selaras di antara negeri ke pusat, persatuan kebangsaan ke MSN, bersama kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), biar satu pasukan. Kejayaan tidak akan dapat kalau tak bekerjasama,” katanya.

– Berita Harian