LANGKAWI: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Aiman Rosli mengakui arahan taktikal pasukan untuk melakukan pemecahan awal pada peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 membuahkan hasil apabila berjaya meraih jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dan pelumba terbaik Malaysia selepas menduduki tempat kedua keseluruhan.
Aiman yang mencatat mata penuh selepas menjuarai dua zon pecutan serta menamatkan satu lagi di tempat ketiga jelas gembira dengan permulaan positif itu meskipun beraksi dalam keadaan hujan.
“Memang dalam perbincangan pasukan saya dapat arahan untuk buat ‘breakaway’. Alhamdulillah, berjaya dapat bonus mata termasuk dua kali tempat pertama zon pecutan dan sekali tempat ketiga.
“Jadi dapatlah jersi Asia ini. Harap saya boleh terus kekalkan prestasi terbaik untuk peringkat seterusnya,” kata pelumba kelahiran Muar, Johor dan juara kebangsaan itu.
Mengulas saingan bersama pasukan WorldTeam, Aiman mengakui ia hanya permulaan dan cabaran sebenar bakal bermula apabila pelumba handalan mula mengatur rentak.
“Kalau tengok hari ini, pasukan besar macam WorldTeam sebenarnya belum tunjukkan kekuatan penuh mereka lagi. Nanti bila mereka mula ‘full gas’, barulah ujian sebenar buat kami.
“Namun saya tetap percaya peluang untuk buru kemenangan peringkat tetap ada, Insya-Allah,” katanya.
Aiman berkata, tumpuannya kini lebih terarah untuk menyimpan tenaga menjelang peringkat ketiga dari Gerik ke Pasir Puteh yang dianggap penting dalam menentukan nasib pelumba Asia.
“Esok (peringkat kedua) kemungkinan besar penamat beramai-ramai. Jadi saya akan cuba bantu pasukan dan simpan kaki (tenaga) untuk aksi lebih mencabar di Gerik nanti. Itulah sasaran utama saya,” katanya.
– Harian Metro

