KOTA BHARU: Selepas hanya menduduki tempat ketiga semalam, pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa berjaya menebus kekecewaan dengan menjuarai peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu sejauh 186.2 kilometer (km).

Bagaimanapun, Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan masih menjadi milik pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn yang menamatkan perlumbaan hari ini di tempat kedua.

Tempat ketiga diraih pelumba kelahiran Verona, Itali Enrico Zanoncello yang mewakili pasukan, Green Project-Bardiani CSF-Faizane.

“Saya gembira kerana kembali berjaya meraih kemenangan pertama musim ini dan saya gembira kerana mampu kembali meletakkan nama saya sebagai pemenang.

“Perlumbaan yang benar-benar menarik pada hari ini kerana semalam saya membuat kesilapan kerana terlalu terbuka dan hari ini saya berjaya perbaiki dan mampu melakukan pecutan seperti yang saya mahukan,” kata Syritsa yang turut memenangi peringkat pertama LTdL 2022 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur.

Walaupun De Kleijn kehilangan Jersi Hijau dan gagal meraih kemenangan kedua berturut-turut, dia masih boleh berbangga dengan Jersi Jingga selaku pendahulu keseluruhan Raja Pecut dengan mengumpul 27 mata, diikuti Syritsa (24) dan Zanoncello (15).

Sementara itu, Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit juga bertukar tangan selepas ia diraih Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dari Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) selepas menyapu bersih mata maksimum di zon pendakian di Setiu dan Pelong.

Dia merampas jersi berkenaan daripada rakan-sepasukan, Muhammad Nur Aiman Zariff selepas mengumpul empat mata.

Sementara itu Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia masih disandang Tegshbayar Batsaikhan dari Roojai Insurance Online.

Perlumbaan peringkat ketiga akan bermula dari Jeli ke Baling sejauh 183.1km, yang turut menawarkan pendakian kategori satu di Puncak Titiwangsa.

– Harian Metro