LANGKAWI: Taktikal awal yang dirancang Terengganu Cycling Team (TSG) membuahkan hasil apabila pelumba mereka Nur Aiman Rosli tampil cemerlang dengan meraih jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dan pelumba terbaik Malaysia pada peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, hari ini.

Aiman menamatkan saingan di tempat kedua bagi klasifikasi keseluruhan (jersi hijau), selain mengutip mata maksimum menerusi dua kemenangan zon pecutan serta satu tempat ketiga.

“Memang dalam perbincangan pasukan saya dapat arahan untuk buat ‘breakaway’. Alhamdulillah, berjaya dapat bonus mata termasuk dua kali tempat pertama zon pecutan dan sekali tempat ketiga.

“Jadi dapatlah jersi Asia ini. Harap saya boleh terus kekalkan prestasi terbaik untuk peringkat seterusnya,” kata pelumba kelahiran Muar, Johor dan juara kebangsaan 2025 itu yang menamatkan perlumbaan Peringkat 1 hari ini di kedudukan ke-88 daripada 129 pelumba keseluruhan.

“Namun saya tetap percaya peluang untuk buru kemenangan peringkat tetap ada, Insya-Allah,” katanya yang mahu mencipta kejutan di Peringkat 8 yang bakal memulakan saingan di kampung halamannya di Tangkak ke Kuala Lumpur, 5 Oktober ini.

Aiman berkata, tumpuannya kini lebih terarah untuk menyimpan tenaga menjelang peringkat ketiga dari Gerik ke Pasir Puteh yang dianggap penting dalam menentukan nasib pelumba Asia.

“Esok (peringkat kedua) kemungkinan besar penamat beramai-ramai. Jadi saya akan cuba bantu pasukan dan simpan kaki (tenaga) untuk aksi lebih mencabar di Gerik nanti. Itulah sasaran utama saya,” katanya.

– Berita Harian