KULAI: Penamat beramai-ramai yang dijangka berlaku pada Peringkat Keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Batu Pahat ke Kulai tidak menjadi kenyataan apabila pelumba VF Group Bardiani CSF Faizane, Manuele Tarozzi berjaya melarikan diri daripada peloton sebelum melintasi garisan penamat secara solo, sebentar tadi.

Pelumba EF Education EasyPost, Stefan De Bod yang cuba mengejar ketika satu kilometer (km) menuju ke garisan penamat hanya berpuas hati di tempat kedua, manakala Arvid De Kleijn dari Tudor Pro Cycling Team melengkapkan podium.

Walaupun menjadi pelumba ke-36 Itali memenangi peringkat perlumbaan LTdL dengan catatan masa dua jam 28 minit 58 saat (s), tumpuan lebih terarah kepada De Kleijn kerana berjaya merampas Jersi Jingga (Raja Pecut).

Pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole pula mengekalkan Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan mengumpul catatan masa 19:02:04s, diikuti Thomas Pesenti dari JCL Team UKYO (0:14s).

Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit pula kekal milik pelumba BH Burgos, Mario Aparicio dengan 27 mata, diikuti Poole 22 mata dan ketiga Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan Team (12 mata).

Pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi mengekalkan Jersi Putih selaku Terbaik Asia (19:04:21s), meninggalkan rakan sepasukan, Yuma Koishi (2:41s), manakala Keigo Kusaba dari Aisan Racing Team di kedudukan ketiga (2:45s).

Menurut Tarozzi yang pernah muncul juara di China dan Rwanda, dia cuba melakukan ‘break away’ untuk mendapat keputusan yang baik walaupun cuba dicabar De Bod pada akhir saingan.

“Selepas melakukan pemecahan, De Bod yang memiliki kekuatan luar biasa cuba mengejar dan berkata dia hanya mahu mengekori saya sahaja (taktik untuk memintas).

“Namun pada 300 meter (m) terakhir saya melakukan henjutan sehingga ke garisan penamat,” katanya selepas tamat perlumbaan sejauh 123.4km.

Sementara itu, De Kleijn yang mengumpul 54 mata bagi pertarungan Raja Pecut, tetap berasa kecewa walaupun merampas jersi yang dimenanginya tahun lalu kerana tidak berjaya melakar hatrik di Kulai.

“Kecewa kerana tidak berakhir dengan kejayaan, namun gembira dengan kerjasama rakan sepasukan menarik saya sepanjang perlumbaan. Saya tidak dapat merapatkan diri dengan dua pelumba di depan.

“Bagaimanapun, kami membuktikan sekali lagi mempunyai kekuatan dari segi menarik pelumba dan pakar pecut berkualiti.

“Saya hanya menang dalam kalangan kelompok besar sahaja hari ini, itu antara perkara positif,” katanya yang mengetepikan Matteo Malucelli (JCL Team UKYO) dengan kelebihan empat mata.

Peringkat Ketujuh esok akan bermula dari Miri ke Bintulu sejauh 199.3km dengan menawarkan tiga zon pecutan di Suai, Nyalau dan Kidurong, manakala zon pendakian pula terdapat di Bintulu.

– Harian Metro