KUALA LUMPUR: Tiga daripada lapan peringkat perlumbaan dianggap ‘kritikal’ buat skuad kebangsaan negara di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang dijadual membuka tirainya, Ahad ini.
Bagi ketua jurulatih skuad negara, Mohd Yusof Nasir, perlumbaan itu ialah Peringkat 3, 4 dan 5 membabitkan cabaran pendakian dalam tempoh tiga hari berturut-turut sekali gus memerlukan tahap ketahanan tinggi dan proses pemulihan yang pantas.
Peringkat 3 membabitkan laluan dari Taiping ke Cameron Highlands sejauh 170.3 kilometer (km), Peringkat 4 dari Kuala Kubu Bahru ke Bentong (131.2km) dan Peringkat 5 dari Kuala Lumpur ke Melaka (167.3km).
Kesemua laluan ini dianggap mencabar dengan merangkumi tujuh zon pendakian dan sembilan zon pecutan.
“Tiga hari ini mencabar dan kita bimbang sekiranya pelumba tidak dapat mencapai tahap pemulihan yang cepat,” kata Yusof yang turut menjangkakan perlumbaan Peringkat 7 juga bakal memberikan cabaran memandangkan saingan dari semenanjung beralih ke Miri, Sarawak.
Perlumbaan Peringkat 7 dijadual membabitkan laluan perlumbaan dari Miri ke Bintulu sejauh 199.3km dan bagi Yusof, ia tentunya memberikan cabaran apatah lagi selepas mengharungi proses transit sebaik sahaja selesai saingan Peringkat 6 dari Batu Bahat ke Kulai.
“Selepas transit, keesokannya semua pelumba berkayuh sejauh kira-kira 200km. Ia antara yang paling mencabar kerana kalau perlumbaan di luar – jika membabitkan transit – tempoh rehat sehari diberikan.
“Saya mahu pelumba berehat secukupnya, menjaga pemakanan dan kesihatan, terutamanya dalam situasi cuaca yang tidak menentu ini,” katanya.
Edisi ke-28 tahun ini menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai selain turut menyajikan dua peringkat perlumbaan julung kalinya bakal dilangsungkan di Sarawak iaitu di bandar Miri dan Bintulu dengan jarak keseluruhan merangkumi 1,190 kilometer (km).
– Berita Harian