KUALA LUMPUR: Dua pasukan ProTeam (PT) dari Perancis, Team TotalEnergies dan Unibet Tietema Rockets membuat penampilan semula di perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25) bermula 28 September ini selepas lama tidak beraksi dalam jelajah terunggul Asia itu.

TotalEnergies adalah nama baharu bagi pasukan Bonjour, Bouygues Telecom, Bbox-Bouygues dan Europcar yang sering menghiasi LTdL pada awal dekad lalu sebelum menukar penaja barunya, Direct Energies yang mengambil alih pasukan pada 2016 dan berdaftar sebagai pasukan ProTeam pada 2020.

Unibet Tietema Rockets pula pernah beraksi di LTdL 2007 dengan nama Unibet.com sebelum isu syarikat perjudian dalam sukan berbasikal menyebabkan ia menarik diri seketika daripada menaja pasukan berbasikal profesional sebelum dihidupkan semula pada 2023.

Penampilan semula dua pasukan ini di pentas LTdL25 menarik perhatian ramai, lebih-lebih lagi apabila berdasarkan senarai pelumba, kedua-duanya cenderung untuk mengejar kedudukan individu keseluruhan (GC) dan berpasukan keseluruhan.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, sarat dengan pendaki dan pakar perlumbaan sehari tanpa pakar pecut terkenal, sasaran TotalEnergies dan Unibet lebih tertumpu di peringkat penentuan membabitkan laluan pendakian seperti Gerik-Pasir Puteh, Temerloh-Bukit Fraser dan peringkat terakhir di Bukit Antu dan Look Out Ampang.

“Kita yakin bakal ada strategi tersendiri yang akan ditampilkan oleh kedua-dua pasukan dari Perancis ini, lebih-lebih lagi pelumba mereka kaya dengan pengalaman bersaing di pentas Eropah,” kata Emir dalam satu kenyataan.

TotalEnergies yang mengumpul lapan kemenangan dan 35 podium sepanjang tahun ini, meletakkan empat pakar pendaki iaitu Joris Delbove, Alan Jousseume, Nicola Mancerou dan pelumba Britain, Adam Mitchell manakala Lorenzo Manzin dan Jason Tesson bertindak sebagai pelumba pecut.

Unibet pula menyenaraikan semua pelumba yang berkebolehan dalam pendakian di mana Adrien Maire, 24, menang Peringkat 4 Tour of Hellas dalam laluannya menduduki tempat ketiga keseluruhan, selain di tempat kedua Tour du Doubs, dan kesembilan keseluruhan Tour of Turkiye.

Perlumbaan 8 peringkat LTdL25 akan melewati semua 12 negeri di Semenanjung Malaysia, membabitkan jarak keseluruhan 1,224.2km yang bermula di Pulau Langkawi pada 28 September ini dan berakhir di KLCC pada 5 Oktober.

– Berita Harian / Harian Metro