LANGKAWI: Beberapa jalan raya di sekitar pulau ini akan ditutup bermula jam 3 petang ini hingga 2 petang Ahad, sempena perlumbaan peringkat pertama edisi ke-28 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata laluan yang ditutup mulai jam 3 petang ini membabitkan Jalan Padang Matsirat dari lampu isyarat Pokok Asam hingga Lampu Isyarat Dundung.

“Penutupan dan lencongan secara berperingkat hari ini untuk memberi laluan kepada kerja-kerja persiapan di lokasi permulaan (pekan Kuah) bagi menjamin kesempurnaan perlumbaan peringkat pertama LTdL 2024.

“Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif dari lampu isyarat Sungai Menghulu, Jalan Padang Gaong, Lebuhraya Langkawi, Jalan Ayer Hangat, Pekan Kuah/Jeti Kuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shariman berkata, selain itu penutupan dan lencongan secara berperingkat membabitkan beberapa jalan turut dilakukan bermula 7.30 pagi hingga 11.30 pagi esok sempena acara ‘Domestique Ride’.

“Antara jalan yang akan ditutup secara berperingkat sepanjang acara itu berlangsung adalah Jalan Padang Matsirat, Lencongan Putra 1, Penarak, Ayer Hangat, Pantai Kok, Kuala Teriang, Nyiur Chabang dan Ulu Melaka.

“Turut ditutup Jalan Makam Mahsuri, Mata Air, Padang Matsirat, Lapangan Terbang, Kuala Muda, Teluk Baru, Temonyong, Bukit Malut dan Padang Matsirat,” katanya.

Beliau berkata, penutupan dan lencongan secara berperingkat bagi laluan dan tempoh masa sama turut dilakukan sempena perlumbaan peringkat pertama LTdL 2024 sejauh 96.5 kilometer (km) pada Ahad.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memberi kerjasama penuh dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang bertugas bagi memastikan kelancaran sepanjang acara itu,” katanya.

LTdL 2024 sejauh 1,190km bermula di Langkawi untuk peringkat 1; diikuti Peringkat 2 (Arau-Butterworth); Peringkat 3 (Taiping-Cameron Highland); Peringkat 4 (Kuala Kubu Baru-Bentong); Peringkat 5 (Kuala Lumpur-Melaka); Peringkat 6 (Batu Pahat-Kulai); Peringkat 7 (Miri-Bintulu) dan berakhir dengan Peringkat 8 (Bintulu).

– Berita Harian