LANGKAWI: Dataran Lang, Kuah, di sini kembali meriah apabila 22 pasukan berbasikal dari seluruh dunia diperkenalkan pada majlis pembukaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, malam ini.

Kali terakhir Langkawi menjadi tuan rumah kepada majlis pengenalan pasukan sebelum perlumbaan rasmi adalah pada tahun 2018 dengan Peringkat 1 berlangsung dari Kangar ke Kulim.

Majlis berkenaan disempurnakan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dengan disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Sebanyak 132 pelumba mewakili pasukan bertaraf WorldTeam, ProTeam, Benua dan kebangsaan dijangka bersaing sengit dalam edisi kali ini yang membabitkan jarak perlumbaan keseluruhan sejauh 1,190 kilometer (km), merangkumi 10 negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Perlumbaan LTdL 2024 akan bermula Ahad ini di Langkawi bagi Peringkat 1, sebelum diteruskan ke Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, Peringkat 3 dari Taiping ke Cameron Highlands, dan Peringkat 4 dari Kuala Kubu Baru ke Bentong.

Peringkat 5 membabitkan laluan dari Kuala Lumpur ke Melaka, disusuli Batu Pahat ke Kulai (Peringkat 6), Miri ke Bintulu (Peringkat 7), dan Bintulu (Peringkat 8).

Peringkat pembukaan perlumbaan sejauh 96.5km itu akan mengelilingi Pulau Langkawi, dengan pelumba berdepan cabaran satu pendakian kategori empat di Look Out Point Langkawi serta tiga zon pecut di Harbour Park, Bayas dan Padang Matsirat.

– Berita Harian