KUALA LUMPUR- Dengan peruntukan dana lebih kecil tetapi laluan yang dianggap paling sukar pernah disediakan dalam sejarah Le Tour de Langkawi (LTdL), edisi ke-30 LTdL2026 yang berakhir di Putrajaya semalam, boleh dianggap berjaya.

Setiap hari, persaingan di laluan yang dipilih menyaksikan mutu perlumbaan yang tinggi dan sukar diramal, biarpun empat jersi utama rebutan itu dipegang penyarungnya sejak Peringkat 1 di Kampar dan Peringkat 2 di Gunung Jerai.

Di akhir persaingan lapan peringkat sejauh 1,285.5km itu, pelumba pasukan WorldTeam XDS-Astana, Matteo Malucelli bergelar Raja Pecut dan pemenang mutlak jersi biru tajaan Sekretariat Penganjur Sukan SEA dan Para 2027, bersaing rapat dengan pelumba pasukan muka baru berstatus ProTeam, Modern Adventure Cycling Team, Riley Pickrell.

Jersi pendahulu keseluruhan (GC) pula dimenangi pelumba pasukan ProTeam, Tudor Pro Cycling, Lennart Jasch yang menyarung jersi oren tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebaik tamat pendakian Peringkat 2 di Gunung Jerai, dan mempertahankannya hingga ke Peringkat 8 pada Ahad lalu.

Pelumba Jerman itu juga memenangi jersi polka dot Raja Bukit tajaan Bubbles O2, walaupun terlepas sehari kepada pelumba WheelTop Rotor Cycling Team, Petr Rikunov yang menang di puncak Cameron Highlands pada Peringkat 4, sebelum Jasch merampasnya kembali pada pendakian ke puncak Genting Highlands di Peringkat 5 dan mempertahankannya sehingga ke Putrajaya.

Usaha sama turut dilakukan pemenang jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dimenangi pelumba Aisan Racing Team, Yuhi Todome walaupun setiap hari cuba diasak pelumba benua Asia lain.

Seperti kata Jasch, walaupun aksi di dalam peloton setiap hari tampak mudah, di atas kertas, ia penuh dengan strategi dan taktikal secara matematik untuk mempertahankan jarak masa dan pungutan mata dalam klasifikasi GC dan Raja Bukit.

Mungkin yang sedikit mengundang rasa terkilan peminat LTdL kali ini ialah prestasi pelumba tempatan yang gagal melangkah ke podium utama selepas setiap peringkat berakhir.

Namun, kemunculan beberapa nama yang masih muda seperti Khe Zhe Yie, Chan Jian Le, dua beradik Tsen Ren Bao dan Tsen Ren Han serta Adam Danish Afdzal dalam LTdL26 ini menjanjikan potensi besar bagi sukan berbasikal jelajah Malaysia untuk tempoh beberapa tahun terdekat ini.

Di luar peloton, tidak dapat dinafikan skala penganjuran kali ini kelihatan sedikit mengecil disebabkan ketiadaan bajet besar daripada penaja swasta, tetapi ia tidak sedikitpun mengurangkan debaran, kemeriahan dan keseronokan yang dirasai ratusan ribu peminat dan pengunjung di garis mula, tamat dan sepanjang laluan.

Malah, bagi Presiden Panel Komisar (PCP) Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang ditugaskan dalam LTdL26, Paul Watson, ternyata amat berpuas hati melihat mutu penganjuran yang tinggi serta kelancaran perjalanan perlumbaan setiap hari.

Ketika ditemui sebelum bermula Peringkat 8 di Muar kelmarin, Komisar UCI dari Ireland itu melahirkan kekagumannya melihat profesionalisme tinggi yang ditunjukkan ‘orang kuat’ dari Sekretariat LTdL26 serta petugas-petugas setiap jabatan.

“(Mendiang) bapa saya (Jack Watson) pernah empat kali bertugas dalam LTdL dulu dan dia pernah bercerita mengenai LTdL dan keseronokan setiap kali datang bertugas ke Malaysia. Kini saya dapat melihat dan merasainya sendiri.

“Apa yang boleh saya katakan, saya cukup berpuas hati melihat mutu penganjuran yang lancar tanpa sebarang masalah dan mendapat liputan luas di dalam dan luar negara. Dengan maklum balas dari tiga rakan Panel Komisar lain, ia pasti memberi kesan positif dalam laporan penilaian ke UCI nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, edisi ke-30 kali ini mempunyai cabaran tersendiri yang akhirnya bertukar kepuasan maksimum.

“Ya, kami agak bergelut kerana tidak mempunyai peruntukan yang besar bagi penganjuran tahun ini tetapi ‘perlumbaan harus diteruskan’. Ia satu tanggungjawab besar dan sebaik berakhir jelajah 8 peringkat ini, perasaan saya bercampur baur antara rasa terharu, bangga dan puas.

“Saya pasti perasaan sama dirasai oleh jawatankuasa penganjur dari MSN termasuk Pengarah Acara LTdL26 ini, Safrushahar Yusoff serta seluruh petugas dari agensi kerajaan, swasta serta orang perseorangan yang bertungkus lumus sebelum, semasa dan sebaik tamat perlumbaan ini.

“Melihat kepada kelancaran LTdL ini serta reaksi dari Presiden Panel Komisar, saya pasti kami akan dapat mengekalkan ‘kad hijau’ untuk LTdL ini, seperti yang dicapai pada tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, demi memastikan penganjuran lebih baik bagi jelajah berstatus 2.ProSeries itu tahun depan, pihaknya akan mengadakan post mortem dalam masa terdekat untuk menilai dan mencari jalan memperbaiki setiap kelemahan yang masih ada.

Senarai pemenang jersi LTdL 2026:

  1. Jersi Oren (GC)- Lennart Jasch (Tudor Pro Cycling Team)
  2. Jersi Polka Dot (KOM) – Lennart Jasch (Tudor Pro Cycling Team)
  3. Jersi Biru (Sprint) – Matteo Malucelli (XDS-Astana Team)
  4. Jersi Putih (Asia) – Yuhi Todome (Aisan Racing Team)