PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menganjurkan edisi ke-30 perlumbaan Le Tour de Langkawi 2026 dari 27 September hingga 4 Oktober 2026 dengan Majlis Sukan Negara (MSN) kekal selaku penganjur selepas penganjuran cemerlang menerusi tiga edisi sebelum ini.
LTDL 2026 akan menjelajah ke lapan negeri di semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer. Ulangtahun ke-30 LTDL juga menyajikan cabaran laluan paling sukar dalam sejarah penganjuran apabila tiga penamat di puncak bukit disajikan sebagai igauan setiap pelumba yang bakal hadir bersaing kali ini.
Pendakian Gunung Jerai diperkenalkan buat pertama kali di Peringkat Kedua, dari Taiping ke puncak Gunung Jerai. Walaupun pendakian dilabelkan sebagai pendakian Kategori 1, namun permulaan mendaki dari ‘sea level’ di kaki gunung ke ketinggian menghampiri 1000 meter pasti menjanjikan permulaan yang cukup mencabar pada edisi kali ini.
Hasrat untuk mengulangi memori ‘back to back climb’ membabitkan Cameron Highlands dan Genting Highlands yang cuma pernah diadakan dua kali sebelum ini pada tahun 2001 dan 2011 dapat direalisasikan tahun ini selepas menerima lampu hijau dari pengurusan Resort World Genting untuk pelumba-pelumba kembali menawan puncak sukar di Genting Highlands tahun ini.
Ia juga jadi berita gembira juga untuk peminat tegar LTDL yang menantikan tradisi sambutan luar biasa di Genting Highlands pada peringkat kelima edisi kali ini. Penamat peringkat keempat di Cameron Highlands juga lebih mencabar kerana permulaan pendakian dari Tapah menuju ke Tanah Rata jelas lebih sukar berbanding pendakian melalui Simpang Pulai pada dua edisi sebelum ini.
KBS juga mengharapkan prestasi lebih baik daripada pelumba-pelumba negara yang bertanding di dalam LTDL 2026 mewakili tiga pasukan iaitu Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling Team (MPC) dan juga Pasukan Kebangsaan Malaysia. Kejayaan Nur Aiman Rosli (TSG) menguasai kedudukan podium tempat kedua di penamat peringkat ketujuh LTDL 2025 hasil kayuhan “breakaway” luarbiasa seharusnya mampu diulangi, sekiranya pelumba-pelumba Malaysia membuat persediaan cukup rapi untuk perlumbaan pada September nanti.
Semua 20 pasukan yang dijemput daripada kategori World Team, ProTeam, Continental Team dan pasukan kebangsaan juga sudah mengesahkan penyertaan masing-masing sebelum acara pelancaran LTDL 2026 disempurnakan pada hari ini.
Kategori : UCI Proseries Men Elite
Tarikh : 27 September – 4 Oktober 2026
Peringkat : 8 Peringkat
(a). Peringkat pembukaan LTdL 2026 akan berlangsung dari Bukit Jelutong, Shah Alam ke Kampar, Perak sejauh 193 kilometer, sekali gus menandakan bermulanya cabaran lapan peringkat perlumbaan edisi ke-30 LTdL;
(b). Peringkat ke-2 akan bermula dari Taiping ke Gunung Jerai dengan jarak keseluruhan 145.6 kilometer. Peringkat ini merupakan laluan pendakian sukar pertama dalam edisi LTdL 2026 dan bakal menyaksikan penamat di Gunung Jerai diperkenalkan buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran LTdL;
(c). Peringkat ke-3 akan bermula di Sungai Petani dan berakhir di Kuala Kangsar, melibatkan jarak perlumbaan sejauh 189.9 kilometer;
(d). Peringkat ke-4 dari Meru Raya, Tambun ke Cameron Highlands sejauh 140.1 kilometer dijangka menjadi peringkat kedua paling sukar dalam LTdL 2026. Laluan ini menawarkan cabaran pendakian yang lebih getir berbanding edisi terdahulu apabila pelumba perlu menakluk pendakian ke Cameron Highlands melalui Tapah, berbanding laluan Simpang Pulai yang lazim digunakan sebelum ini;
(e). Peringkat ke-5 dari Tapah ke Genting Highlands sejauh 125.7 kilometer dijangka menjadi peringkat penentuan utama atau queen stage LTdL 2026. Penamat di Genting Highlands yang menampilkan pendakian kategori Hors iaitu kategori pendakian tertinggi dalam perlumbaan berbasikal, dijangka menjadi medan pemisah utama antara pencabar-pencabar gelaran keseluruhan dan bakal menguji kemampuan sebenar para pakar pendakian;
(f). Peringkat ke-6 akan bermula di Pandan Indah dan melibatkan jarak perlumbaan sejauh 121.3 kilometer sebelum berakhir di Rembau, Negeri Sembilan;
(g). Peringkat ke-7 akan bermula di Dataran Pahlawan, Melaka dan berakhir di Batu Pahat, Johor, melibatkan jarak perlumbaan sejauh 159.1 kilometer; dan
(h). Peringkat terakhir LTdL 2026 akan menyaksikan pelumba mengharungi laluan sejauh 183.8 kilometer dari Dataran Tanjung Emas, Muar ke Istana Kehakiman, Putrajaya. Peringkat ini akan melengkapkan keseluruhan lapan peringkat perlumbaan yang merentasi 8 negeri di Semenanjung Malaysia.

