PUTRAJAYA: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dijangka menjadi edisi paling mencabar dalam sejarah penganjurannya apabila menampilkan tiga penamat di laluan pendakian sempena sambutan ulang tahun ke-30 perlumbaan berstatus UCI ProSeries itu.
Perlumbaan yang berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober itu membabitkan lapan peringkat merentasi lapan negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer (km).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, edisi kali ini direka dengan laluan lebih sukar bagi menguji ketahanan fizikal dan mental pelumba bertanding.
“Ulang tahun ke-30 LTdL ini menyajikan cabaran paling sukar dalam sejarah apabila tiga penamat di puncak bukit diperkenalkan sebagai ujian utama kepada pelumba,” katanya pada Majlis Pelancaran LTdL 2026 di Menara KBS di sini, hari ini.
Antara tumpuan utama ialah penamat peringkat kedua di Gunung Jerai, yang menjadi pendakian Kategori 1 dari Taiping sejauh 145.6km, sekali gus dijangka memisahkan kelompok pencabar awal.
Cabaran pendakian klasik Cameron Highlands dan Genting Highlands turut kembali selepas kali terakhir diperkenalkan pada edisi 2001 dan 2011, dengan laluan dari Tapah dijangka lebih mencabar.
Perlumbaan ke Genting Highlands akan menjadi ‘Queen Stage’ dengan pendakian kategori Hors, iaitu kategori tertinggi dalam perlumbaan berbasikal.
Dalam pada itu, Taufiq berharap tiga pasukan tempatan iaitu Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling Team (MPC) dan skuad kebangsaan dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.
Beliau berkata, pencapaian Nur Aiman Rosli (TSG) yang muncul naib juara peringkat ketujuh LTdL 2025 membuktikan kemampuan pelumba negara bersaing di peringkat antarabangsa.
Sebanyak 20 pasukan membabitkan WorldTeam, ProTeam, Continental Team dan skuad kebangsaan sudah mengesahkan penyertaan bagi edisi kali ini.
Mengulas mengenai penajaan, beliau berkata kontrak Petronas sebagai penaja utama telah berakhir dan KBS kini dalam perbincangan dengan beberapa syarikat bagi mendapatkan penaja baharu.
“Penajaan baharu akan diumumkan dalam masa terdekat. Walaupun menggunakan dana sedia ada, kita mahu LTdL terus diperkasa sebagai platform sukan dan promosi negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM12 juta bagi LTdL 2026, berkurang berbanding kira-kira RM18 juta sebelum ini, dengan antara langkah penjimatan termasuk tidak memasukkan laluan ke Langkawi kerana kos logistik yang tinggi.
– Berita Harian
