PUTRAJAYA: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dijangka menjadi antara edisi paling sengit dalam sejarah perlumbaan itu apabila pelumba perlu menakluk tiga penamat di puncak bukit yang menguji had kemampuan fizikal dan mental mereka.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, edisi ke-30 itu bakal mempertaruhkan laluan sejauh 1,258.5 kilometer merentasi lapan negeri dengan cabaran getir membabitkan tiga pendakian bukit iaitu Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands yang dijangka menjadikan perlumbaan itu lebih menarik.
Katanya, buat pertama kali dalam sejarah, pendakian ke puncak Gunung Jerai akan dimasukkan dalam laluan LTdL 2026 dan ia dijangka menjadi tumpuan awal apabila peserta perlu mengharungi hampir 1,000 meter pendakian pada peringkat kedua dari Taiping ke Gunung Jerai.
Untuk LTdL 2026, setiap pelumba akan melalui laluan merentasi beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak dan Kedah dan perlumbaan berkenaan akan berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober depan.
“Ulang tahun ke-30 LTdL kali ini amat istimewa kerana kita menyajikan laluan paling sukar dalam sejarah penganjuran dengan tiga penamat di puncak bukit.
“Pendakian Gunung Jerai diperkenalkan buat pertama kali dan saya percaya ia akan menjadi igauan kepada pelumba kerana cabarannya yang cukup sukar,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Pengumuman Laluan LTdL 2026 di Menara KBS, di sini, hari ini.
Selain itu, bagi menambah lagi cabaran, pendakian berturut-turut membabitkan laluan Cameron Highlands dan Genting Highlands turut diperkenalkan selepas kali terakhir digunakan pada 2011.
Pelumba bakal menghadapi cabaran sukar kerana mereka perlu melalui jalan berliku bermula di Tapah menuju ke Tanah Rata, berbanding laluan Simpang Pulai yang dianggap lebih mesra pendaki.
“Kita juga menerima lampu hijau daripada Resorts World Genting untuk kembali mengadakan penamat di Genting Highlands. Ini sudah pasti menggembirakan peminat setia LTdL yang sentiasa menantikan suasana meriah di sana,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Taufiq yakin wakil tempatan seperti Malaysia Pro Cycling Team (MPC), Terengganu Cycling Team (TSG) dan skuad kebangsaan mampu memberi saingan kepada pasukan dari luar negara.
“LTdL bukan sekadar perlumbaan berbasikal tetapi juga karnival rakyat yang membawa sukan lebih dekat dengan masyarakat. Sepanjang lapan hari perlumbaan, kita berpeluang mempromosikan budaya dan keunikan negara kepada dunia,” katanya.
– Harian Metro
