KUALA LUMPUR: Laluan baharu menuju puncak Gunung Jerai serta dua penamat di puncak berstatus Hors di Cameron Highlands dan Genting Highlands dijangka menjadikan edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) sebagai perlumbaan paling mencabar dan sengit dalam sejarah penganjurannya.
Pengenalan pendakian Gunung Jerai pada Peringkat 2 bukan sahaja memberi dimensi baharu kepada perlumbaan, malah dijangka menjadi pentas awal buat pelumba terutama pakar pendakian menguji kemampuan masing-masing dalam perebutan jersi pendahulu dan Raja Bukit.
Pendakian berstatus Kategori 1 itu menawarkan 15 mata bagi klasifikasi Raja Bukit selain masa bonus, sekali gus berpotensi mencetuskan perubahan awal dalam kedudukan keseluruhan seawal hari kedua perlumbaan.
Cabaran sebenar bagaimanapun menanti di Peringkat 4 dan 5 apabila pelumba perlu menakluk dua pendakian berturut-turut berstatus Hors di Cameron Highlands dan Genting Highlands yang masing-masing menawarkan 25 mata bagi klasifikasi Raja Bukit.
Ketua Pegawai Operasi LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, laluan Gunung Jerai sengaja diperkenalkan bagi meningkatkan tahap persaingan selepas edisi tahun lalu hanya menampilkan pendakian di Banjaran Titiwangsa dan Bukit Fraser yang dianggap kurang mencabar.
“Laluan Peringkat 2 sejauh 145.6km dari Taiping ke Gunung Jerai setinggi 971 meter dari aras laut itu bermula selepas pelumba melepasi zon pecutan terakhir di Gurun.
“Walaupun baki jarak menuju ke penamat tidaklah terlalu panjang, darjah kecuraman laluan ke puncak Gunung Jerai dijangka menguji daya tahan pelumba dan kumpulan pelumba akan terpisah kepada beberapa kelompok,” kata Emir dalam satu kenyataan.
Menurut Emir, gabungan tiga penamat di puncak pada edisi kali ini menjadikan LTdL26 antara laluan paling sukar pernah diperkenalkan, sekali gus menyukarkan ramalan mengenai pelumba yang bakal muncul juara keseluruhan.
“Dengan adanya penamat di tiga puncak pada edisi kali ini, sukar untuk kita meramalkan siapa yang akhirnya akan muncul pemenang individu keseluruhan kerana kedudukan pasti berubah-ubah di akhir Peringkat 2, 4 dan 5,”kata Emir.
LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar jelajah UCI-Asia akan bermula di Shah Alam pada 27 September depan dan berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober dengan membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,258.5km.
– Berita Harian
