KUALA LUMPUR: Kehadiran dua pasukan berstatus WorldTeam, XDS Astana dari Kazakhstan dan Picnic PostNL dari Belanda, bakal menyemarakkan saingan edisi ke-30 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang membuka tirainya dari 27 September hingga 4 Oktober depan.
Kedua-dua pasukan itu menjadi antara tarikan utama perlumbaan kali ini yang menyaksikan penyertaan 20 pasukan, termasuk lapan ProTeam, sembilan pasukan benua dan skuad kebangsaan Malaysia.
XDS Astana dan Picnic PostNL bukan calang-calang pasukan apabila kedua-duanya bersaing di pentas tertinggi WorldTour, sekali gus dijangka membawa barisan pelumba berkualiti bagi memburu kemenangan dalam perlumbaan berstatus 2.ProSeries itu.
Kehadiran mereka juga dijangka meningkatkan tahap persaingan LTdL 2026, terutama dengan laluan sejauh 1,285.5 kilometer (km) yang menawarkan tiga pendakian utama di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, meskipun jumlah pasukan berkurangan daripada 22 pada edisi lalu, kualiti saingan tetap berada pada tahap tinggi dengan penyertaan dua WorldTeam berkenaan.
“Astana dengan Picnic PostNL ini, saya yakin dia memang akan datang dengan pasukan (paling kuat) sebab dia akan jaga dia punya kredibiliti WorldTeam dia.
“Astana pun baru ini dia menang di Tour of Qinghai Lake. Pelumba ini saya yakin dia akan datang ke Le Tour de Langkawi.
“Ada satu pelumba itu, Guillermo Thomas Silva, dia menang juga di Giro d’Italia. Dia belum hantar lagi tetapi digembar-gemburkan akan datang ke Le Tour de Langkawi, pasal dia menang di Pro Series Asia,” kata Emir dalam sidang media majlis pengenalan pasukan LTdL 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Lapan pasukan ProTeam yang menyertai LTdL 2026 adalah Tudor Pro Cycling Team (Switzerland); Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma dan Burgos-Burpellet (Sepanyol); TotalEnergies dan Unibet Rose Rockets (Perancis); Bardiani CSF-Saber (Itali); dan muka baharu, Modern Adventure Pro Cycling dari Amerika Syarikat.
Sembilan pasukan benua pula terdiri daripada Terengganu Cycling Team dan Malaysia Pro Cycling dari Malaysia; Thailand Continental Cycling Team (Thailand); 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina); Nusantara Cycling Team (Indonesia); WheelTop Rotor Chengdu Cycling Team (China); Aisan Racing Team (Jepun); KSPO (Korea Selatan) dan St George Continental Cycling Team (Australia).
LTdL 2026 akan bermula dari Shah Alam pada 27 September sebelum berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober, dengan lapan peringkat membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.
Senarai Pasukan LTdL 2026
UCI WorldTeams
- XDS Astana (Kazakhstan)
- Picnic PostNL (Belanda)
ProTeams
- Tudor Pro Cycling Team (Switzerland)
- Caja Rural-Seguros RGA (Sepanyol)
- Equipo Kern Pharma (Sepanyol)
- Burgos-Burpellet (Sepanyol)
- TotalEnergies (Perancis)
- Unibet Rose Rockets (Perancis)
- Bardiani CSF-Saber (Itali)
- Modern Adventure Pro Cycling (Amerika Syarikat)
Benua
- Terengganu Cycling Team (Malaysia)
- Malaysia Pro Cycling (Malaysia)
- Thailand Continental Cycling Team (Thailand)
- 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina)
- Nusantara Cycling Team (Indonesia)
- WheelToprotor Chengdu Cycling Team (China)
- Aisan Racing Team (Jepun)
- KSPO (Korea Selatan)
- St George Continental Cycling Team (Australia)
Pasukan Kebangsaan
- Pasukan Kebangsaan Malaysia
– Berita Harian
