KUALA LUMPUR: Meskipun hanya mempertaruhkan dua pasukan berstatus WorldTeam, kemeriahan serta saingan merebut kejuaraan setiap peringkat terutama Raja Bukit tetap dijangka sengit pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, bermula 27 September hingga 4 Oktober depan.

Dua pasukan WorldTeam yang mengesahkan penyertaan pada LTdL kali ini adalah XDS Astana dari Kazakhstan dan wakil Belanda, Picnic PostNL, selain lapan pasukan ProTeam, sembilan pasukan benua dan satu pasukan kebangsaan, sekali gus menjadikan 20 pasukan secara keseluruhan pada edisi tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, biarpun hanya dua pasukan itu menjadi antara tarikan utama kerana mereka membariskan beberapa pelumba ternama, ia pasti membuat pasukan lain cuba mengalahkan mereka.

“Astana dengan Picnic PostNL ini, saya yakin dia memang akan datang dengan pasukan (paling kuat) sebab dia akan jaga kredibiliti WorldTeam.

“Astana pun baru ini menang di Tour of Qinghai Lake. Pelumba ini saya yakin akan datang ke Le Tour de Langkawi.

“Ada satu pelumba, Guillermo Thomas Silva adalah pemenang di di Giro d’Italia. Dia belum hantar lagi tetapi digembar-gemburkan akan datang ke Le Tour de Langkawi, pasal dia menang di Pro Series Asia,” katanya semasa pengumuman pasukan LTdL 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Lapan pasukan ProTeam yang menyertai LTdL 2026 adalah Tudor Pro Cycling Team (Switzerland), Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma dan Burgos-Burpellet (Sepanyol), TotalEnergies dan Unibet Rose Rockets (Perancis), Bardiani CSF-Saber (Itali) serta muka baharu, Modern Adventure Pro Cycling dari Amerika Syarikat.

Sembilan pasukan benua pula membabitkan Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling dari Malaysia, Continental Cycling Team (Thailand), 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina), Nusantara Cycling Team (Indonesia), WheelTop Rotor Chengdu Cycling Team (China), Aisan Racing Team (Jepun), KSPO (Korea Selatan) dan St George Continental Cycling Team (Australia).

Sementara itu, untuk skuad berbasikal negara, hanya Malaysia menyertai saingan berbanding tahun lalu apabila terdapat beberapa negara menghantar wakil.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, walaupun jumlah pasukan berkurangan daripada 22 kepada 20, persaingan kali ini tetap sengit dengan tiga pendakian yang sudah ditetapkan.

“Kita masih lagi mendapati kuota perlumbaan berstatus Pro Series ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Oleh itu, pengurangan ini tidak menjejaskan status kita di peringkat UCI dan ini satu langkah untuk kita memastikan dapat melaksanakan LTdL ini dengan jayanya pada tahun ini.

“Kalau lebih banyak team yang kita jemput memakan belanja lebih besar. Jadi dengan adanya bajet yang kita ada, kita rasa mampu untuk melaksanakan,” katanya.

LTdL 2026 akan bermula dari Shah Alam pada 27 September dan berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan lapan peringkat dengan jarak keseluruhan sejauh 1,285.5 kilometer (km).

– Harian Metro