KUALA LUMPUR: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 bukan sekadar mahu menampilkan persaingan lebih sengit di atas jalan raya, malah menyusun strategi untuk memperluaskan capaian perlumbaan ke pasaran penonton Amerika Syarikat (AS) dan China.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2026, Emir Abdul Jalal berkata, pemilihan pasukan Modern Adventure Pro Cycling dan WheelTop-Rotor Chengdu Pro Cycling adalah sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan nilai tontonan perlumbaan berstatus UCI ProSeries itu.
Beliau berkata, kehadiran Modern Adventure yang diterajui legenda berbasikal AS, George Hincapie, diharap mampu membuka semula pasaran penonton AS terhadap LTdL, manakala WheelTop-Rotor pula membawa nilai besar di China sebagai antara pasukan terkuat ketika ini.
“Modern Adventure kita jemput bukan sekadar untuk mendapatkan satu pasukan, tetapi kita sasarkan juga viewership di AS.
“Kita ada agenda Visit Malaysia, jadi antara sebab utama kita bawa Modern Adventure adalah untuk mendapatkan viewership daripada AS,” katanya pada sidang media pengenalan pasukan LTdL 2026 baru-baru ini.
Menurut Emir, Modern Adventure yang baru ditubuhkan itu juga sudah menunjukkan peningkatan prestasi apabila memenangi beberapa peringkat perlumbaan di AS dan Eropah.
Katanya, AS mempunyai pasaran penonton berbasikal yang besar, namun agak lama tidak mempunyai pasukan atau ‘hero’ yang mampu menjadi tarikan utama.
“AS adalah satu pasaran yang cukup besar. Penonton basikal pun sekarang dah meningkat naik dan Modern Adventure adalah satu-satunya pasukan dari AS yang ada dalam ranking Divisyen 1 atau Divisyen 2.
“Jadi pada kami, lebih baik kami ambil mereka untuk memastikan kita terus mendapat liputan yang besar di AS.
“Viewership AS memang dulu besar tetapi mereka dah lama tak ada ‘hero’ dan pasukan yang kuat. Ini antara benda yang kita bawa kembali supaya kita boleh meliputi semua benua di dunia mengenai penyiaran kita,” katanya.
Dalam masa sama, Emir berkata, WheelTop-Rotor Chengdu pula dijangka menjadi antara pasukan berstatus benua yang perlu diberi perhatian selepas membawa masuk seorang pelumba berprofil tinggi yang pernah meraih kemenangan di Giro d’Italia dan muncul juara keseluruhan Tour of Qinghai Lake baru-baru ini.
Lebih menarik, pelumba berkenaan (Jonathan Klever Caicedo) dikatakan dibeli khas untuk menghadapi LTdL 2026
“Dua tiga tahun lalu Chengdu sudah hantar pasukan tetapi tidak habis perlumbaan dan sebagainya. Tetapi tahun ini mereka sudah membeli seorang pelumba yang ada kemenangan di Giro dan juga baru-baru ini menjadi juara keseluruhan Tour of Qinghai Lake.
“Pelumba ini kita diberitahu dibeli khas untuk Tour de Langkawi,” katanya.
Emir berkata, kehadiran pelumba berkenaan membuktikan cabaran LTdL tahun ini bukan hanya datang daripada dua pasukan WorldTeam dan lapan ProTeam, sebaliknya pasukan berstatus benua juga mempunyai kemampuan untuk memberi saingan.
Malah katanya, WheelTop-Rotor mempunyai nilai komersial dan penyiaran tersendiri kerana kini dianggap pasukan nombor satu di China.
LTdL 2026 akan bermula dari Shah Alam pada 27 September dan berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan lapan peringkat dengan jarak keseluruhan sejauh 1,285.5 kilometer (km).
– Harian Metro
