KUALA LUMPUR: Pasukan luar negara kini mula menyusun strategi untuk memilih barisan pelumba terbaik bagi menghadapi edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang membuka tirai dengan lapan peringkat dari 27 September hingga 4 Oktober depan.
Beberapa pasukan seperti Picnic PostNL, Equipo Kern Pharma, Caja Rural-Seguros RGA, Bardiani CSF 7 Saber dan Burgos Burpellet-BH sudah mengemukakan senarai awal enam pelumba, namun barisan itu masih boleh berubah sehingga senarai muktamad diserahkan sehari sebelum perlumbaan bermula.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, pasukan yang bakal beraksi kini giat menguji kemampuan pelumba menerusi pelbagai perlumbaan di Eropah bagi mencari kombinasi terbaik untuk menghadapi cabaran LTdL26.
“LTdL26 kali ini mempunyai cabaran tersendiri kerana selain cuaca panas terik, ada tiga pendakian utama dengan dua daripadanya berstatus Kategori Hors iaitu Cameron Highlands dan Genting Highlands, manakala satu lagi Kategori 1 di Gunung Jerai,” katanya.
Katanya, pasukan berstatus WorldTeam seperti XDS Astana dan Picnic PostNL serta ProTeam termasuk Tudor Pro Cycling, TotalEnergies, Bardiani, Unibet Rose Rockets, Caja Rural, Kern Pharma dan Burgos kini menyertai pelbagai perlumbaan jelajah serta perlumbaan sehari di Eropah.
Pendatang baharu ProTeam dari Amerika Syarikat, Modern Adventure Pro Cycling turut agresif menguji pelumbanya di Eropah bagi mendapatkan tahap kecergasan dan rentak kayuhan terbaik sebelum beraksi di Malaysia.
Berdasarkan program semasa, lima pasukan dalam senarai LTdL26 beraksi di Czech Tour, manakala enam pasukan menyertai Arctic Race of Norway selepas sebelum itu mengambil bahagian dalam Donostia San Sebastian dan Tour de Pologne. Program mereka turut diteruskan menerusi Renewi Tour, Lidl Deutschland Tour dan Vuelta a Espana.
September pula menjadi tempoh penilaian akhir apabila pelumba dijadual beraksi dalam Lloyd’s Tour of Britain, Skoda Tour de Luxembourg dan Croatia Race sebelum peluang terakhir menguji kemampuan hadir menerusi GP Cycliste de Quebec serta GP Montreal.
Emir berkata, pertindihan jadual LTdL26 dengan Kejohanan Dunia 2026 di Montreal, Kanada tidak dijangka menjadi masalah besar kerana pasukan mempunyai kelompok pelumba yang ramai dan boleh membuat pilihan berdasarkan tahap kecergasan serta sasaran masing-masing.
“Beberapa pasukan sudah menghantar senarai awal tetapi berdasarkan pengalaman, nama pelumba masih boleh berubah sehingga saat akhir. Mereka mahu membawa pelumba yang benar-benar bersedia, cergas dan bebas kecederaan,” katanya.
LTdL26 berstatus ProSeries membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer dan dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN), dengan sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
– Harian Metro
