KUALA LUMPUR: Tiga armada ProTeam Sepanyol tampil lebih bersedia untuk memburu kejuaraan keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang membuka tirai dari 27 September hingga 4 Oktober depan.

Equipo Kern Pharma, Burgos Burpellet-BH dan Caja Rural Seguros-RGA bukan sekadar membawa nama besar, malah masing-masing mempertaruhkan barisan pendaki yang mampu memberi cabaran sengit dalam edisi ke-30 perlumbaan berkenaan.

Kern Pharma paling menyerlah apabila menyenaraikan enam pelumba yang sedang beraksi di Vuelta a Espana, antaranya Marc Brustenga, Pablo Carascosa, Ivan Cobo, Inigo Elosegui, Nil Gimeno dan Jorge Gutierrez.

Pasukan yang turut mempunyai juara LTdL 2022, Ivan Ramiro Sosa, dalam senarai simpanan itu dijangka memuktamadkan enam pelumba terakhir selepas menilai prestasi mereka di Vuelta serta beberapa perlumbaan sehari di Eropah.

Dengan Carascosa, Cobo, Elosegui dan Gutierrez sebagai pakar mendaki, Kern Pharma dilihat mempunyai sehingga empat senjata untuk memburu jersi pendahulu keseluruhan dan Raja Bukit, manakala Brustenga serta Gimeno menjadi sandaran di laluan lebih landai.

Burgos Burpellet-BH pula mempertaruhkan Jose Manuel Diaz, Mario Aparicio dan Jose Luiz Faura yang turut beraksi di Vuelta, selain Jambaljamts Sainbayar dari Mongolia dan Josh Burnett dari New Zealand untuk laluan berbukit.

Malah, kehadiran Sainbayar yang pernah tiga musim bersama Terengganu Cycling Team (TSG) boleh memberi kelebihan kepada Burgos dari segi pengetahuan mengenai bentuk laluan LTdL 2026.

Manuel Diaz bukan nama asing di LTdL apabila menduduki tempat keenam keseluruhan pada 2024 dan kelapan tahun lalu, manakala Aparicio pernah meraih gelaran Raja Bukit pada LTdL 2024.

Sementara itu, Caja Rural turut hadir dengan barisan pendaki diketuai Abel Balderstone yang beraksi di Tour de France tahun ini, selain Nil Aguilera dan Julen Arriolabengoa, manakala pakar pecut kelahiran Portugal, Iuri Leitao, menjadi taruhan untuk kemenangan peringkat.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, berdasarkan senarai awal yang dihantar ketiga-tiga pasukan ProTeam Sepanyol itu, amat jelas mereka mengutamakan pemburuan di laluan mendaki.

“Walaupun ini bukanlah senarai muktamad, Kern Pharma, Burgos dan Caja Rural berpengalaman dalam LTdL dan beberapa perlumbaan besar di Asia. Barisan pelumba mereka cenderung kepada gelaran keseluruhan mungkin kerana menyedari adanya dua pendakian ke puncak berstatus Hors di Cameron Highlands dan Genting Highlands, selain pendakian Kategori 1 di Gunung Jerai.

“Dengan ramai pendaki yang turut beraksi di Vuelta dan Tour de France selain beberapa lagi perlumbaan ProSeries di Eropah dan Asia seperti Presidential Tour of Turkiye, Tour of Hainan, Tour of Qinghai Lake, Volta a Portugal, Vuelta a Burgos dan Tour of Slovenia sejak dua tiga bulan lalu, barisan pelumba dari Sepanyol dijangka menyerlah pada LTdL26 ini,” kata Emir lagi.

Edisi ke-30 LTdL26 membabitkan lapan peringkat sejauh 1,285.5 kilometer dan dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

– Harian Metro