KUALA LUMPUR: TotalEnergies Pro Cycling hadir dengan enam pelumba pendaki terbaiknya untuk memburu semula kejuaraan Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), selepas Joris Delbove muncul juara keseluruhan pada penampilan sulung pasukan itu tahun lalu.
Dengan yang lebih mencabar kali ini, pasukan ProTeam dari Perancis itu mempertaruhkan Jordan Jegat sebagai sandaran utama selepas pelumba berusia 27 tahun itu menamatkan Tour de France (TdF) di tempat ke-10 keseluruhan pada Julai lalu.
Jegat yang turut menduduki tempat ke-10 pada TdF 2025 pernah menamatkan saingan di tangga ke-28 pada edisi 2024, selain merekodkan kemenangan profesional pertamanya tahun ini di Classic Grand Besancon Doubs.
Dia akan dibantu Geoffrey Bouchard, Alan Jausseume, Mathis La Berre, Nicola Macerou dan Valentin Retailleau.
Bouchard pernah bergelar Raja Bukit di Vuelta a Espana 2019 dan Giro d’Italia 2021, manakala La Berre pula mempunyai pengalaman beraksi dalam empat Grand Tour.
Jousseaume dan Macerou turut pernah membantu Delbove pada LTdL tahun lalu, sekali gus memberi kelebihan kepada pasukan berkenaan dari segi pengetahuan mengenai laluan dan keadaan perlumbaan di Asia.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, barisan enam pelumba itu memperlihatkan kesungguhan TotalEnergies untuk mencabar gelaran keseluruhan, Raja Bukit dan Berpasukan Keseluruhan.
“Sekalipun tanpa juara bertahan Delbove, senarai enam pelumba TotalEnergies kali ini seolah-olah melaungkan hasrat sebenar mereka untuk mempertahankan kejuaraan Delbove tahun lalu, selain gelaran Raja Bukit dan Berpasukan Keseluruhan.
“Kelibat dan percaturan strategi mereka pasti amat dinantikan peminat apabila membabitkan tiga pendakian sukar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
LTdL26 berstatus 2.ProSeries akan membuka tirai dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada 27 September ini sebelum berakhir menerusi Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer.
– Harian Metro
