KUALA LUMPUR: Pasukan berstatus benua China, Wheeltop Rotor Chengdu Cycling Team tampil dengan misi menebus kekecewaan edisi lalu apabila mempertaruhkan pelumba berpengalaman Ecuador, Jonathan Caicedo untuk mencabar jersi pendahulu Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang bermula 27 September ini.
Pelumba berusia 33 tahun itu direkrut Chengdu pada Jun lalu adalah pakar pendakian dan pernah beraksi selama lima tahun bersama pasukan WorldTeam, EF-Education.
Antara pencapaian terbaiknya ialah memenangi peringkat ketiga Giro d’Italia 2020, juara keseluruhan Vuelta Bantrab dan Vuelta a Tachira pada 2024 serta empat kali juara kebangsaan Ecuador termasuk acara ujian masa individu (ITT).
Terbaharu, pelumba yang mengumpul 10 kemenangan dalam karier dan pernah menyertai lapan Grand Tour serta empat perlumbaan Klasik itu muncul juara keseluruhan Tour of Qinghai Lake, Julai lalu.
Selain itu, Chengdu turut mempertaruhkan Petr Rikunov, Andrei Stepanov, dan pelumba Mongolia, Bold Iderbold bagi menguatkan cabaran di laluan landai dan berbukit, selain Li Chaoyi serta Shao Junqi yang dijangka memburu kemenangan peringkat dalam henjutan beramai-ramai.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran Caicedo mampu memberikan nafas baharu kepada pasukan China yang kurang menyerlah dalam saingan LTdL sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“China mempunyai banyak kelab berdaftar berstatus Benua tetapi mereka lebih memberi tumpuan kepada perlumbaan dalam negara dan beberapa kali menyertai jelajah di Jepun, Korea dan Taiwan.
“Namun, selepas Chengdu tenggelam dalam penampilan pertama tahun lalu, mereka membuat keputusan besar dengan mengambil Caicedo. Hasilnya, pelumba Ecuador ini menang gelaran keseluruhan Tour of Qinghai Lake dan turut disenaraikan ke LTdL26.
“Dengan pengalaman dan prestasi terkini Caicedo, Chengdu dilihat seolah-olah memberi amaran awal kepada pasukan berstatus WorldTeam dan ProTeam lain untuk mencabar jersi pendahulu,” katanya.
Sebelum ini Chengdu tampil sebagai Chengdu DYC Cycling Team pada LTdL tahun lalu, namun hanya Li Chaoyi berjaya menamatkan saingan sehingga peringkat kelapam, manakala empat pelumba lain terkeluar lebih awal.
Pada 2024 pula, dua pasukan China, Hengxiang Cycling Team dan Li Ning Star, masing-masing menamatkan saingan berpasukan di tangga ke-16 dan ke-19.
– Harian Metro
