KUALA LUMPUR: Empat pendaki berkualiti menjadi taruhan pasukan ProTeam Perancis, Unibet Rose Rockets untuk mencetuskan impak lebih besar pada edisi ke-30 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang bermula 27 September ini.
Selepas sekadar meraih satu kemenangan peringkat menerusi Zeb Kyffin tahun lalu, Unibet kali ini hadir dengan barisan enam pelumba yang dilihat lebih sesuai mengharungi tiga pendakian ke puncak di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.
Diketuai pelumba Norway, Cedrik Bakke Christophersen yang menamatkan saingan di tempat kelima keseluruhan LTdL25, pasukan itu turut mempertaruhkan Owen Geleijn, Peter Jannis dan Eivend Broholt Fougner sebagai pelumba yang mampu memberi cabaran di laluan berbukit.
Pelumba berusia 24 tahun itu turut hadir dengan prestasi meyakinkan selepas meraih kemenangan peringkat di Arctic Race of Norway bulan lalu selain menduduki tempat kelapan keseluruhan perlumbaan berkenaan.
Fougner pula menamatkan Tour of Sibiu di tempat ke-14 keseluruhan dan muncul naib juara klasifikasi Raja Bukit Tour de l’Ain pada Julai lalu, manakala Jannis berada di tempat kelapan Tour of Sibiu tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, barisan Unibet kali ini jelas menunjukkan mereka mahu memberi tumpuan lebih kepada laluan pendakian berbanding edisi lalu.
“Pasukan ini pasti membuat ‘kerja rumah’ lebih awal sebelum memutuskan siapa pelumba yang mahu dihantar ke LTdL26 kerana ia berbeza dengan hanya satu pendakian agak mudah ke Bukit Fraser pada tahun lalu.
“Nama Wout Poels dalam senarai pelumba simpanan itu mengesahkan mereka serius untuk mencipta impak lebih besar kali ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Poels pula pernah meraih kemenangan peringkat di Tour de France dan Vuelta a Espana pada 2023, selain mengumpul 26 kemenangan sepanjang kariernya.
Dua pakar pecut, Rory Townsend dan Ronan Auge pula dijangka menjadi sandaran Unibet di laluan landai, sekali gus melengkapkan pasukan yang dilihat lebih seimbang untuk mencabar pelbagai profil perlumbaan.
– Berita Harian
