KUALA LUMPUR: Persiapan penganjuran Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 kini pada tahap kira-kira 95 peratus, dengan hanya mesyuarat penyelarasan membabitkan dua daerah iaitu Sepang dan Shah Alam, Selangor belum dimuktamadkan.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, urusan bersama kerajaan negeri, daerah serta agensi dan jabatan berkaitan di negeri lain telah diselesaikan, selain pasukan bertanding dan penyiaran televisyen juga sudah dimuktamadkan menjelang perlumbaan jelajah berstatus 2.ProSeries itu.

“Saya kira tinggal Selangor sahaja kita belum habiskan mesyuarat, iaitu daerah Sepang dan Shah Alam kerana mereka sibuk dengan SUKMA dan sebagainya.

“Semua daerah lain sudah selesai. Semua pasukan juga sudah disenaraikan, penyiaran TV pun sudah jelas. Kita kira macam 95 peratus sudah selesai,” katanya pada sidang media Majlis Penajaan Bubbles O2 & jersi polkadot (Raja Bukit) LTdL 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Pada masa sama, Emir berkata, sambutan peminat dijangka menjadi antara tarikan utama khususnya pada pendakian Gunung Jerai di Kedah apabila pihak berkuasa tempatan serta Persatuan Berbasikal Negeri Kedah berhasrat menjadikan lokasi itu sebagai ‘mini Genting’.

Katanya, kawasan khas untuk penonton akan diwujudkan sekitar zon pendakian Gunung Jerai bagi membolehkan peminat menyaksikan pelumba beraksi hingga ke garisan penamat.

“Mereka mahu gunakan peluang ini sebaik mungkin kerana mereka tahu sambutan di Genting luar biasa, jadi kenapa tidak Jerai? Dari kaki gunung lagi sudah ada sambutan dan apabila naik ke penamat, memang akan dipenuhi penonton di kawasan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Emir berkata. kesemua 20 pasukan yang mengesahkan penyertaan dijangka mempertaruhkan sekurang-kurangnya dua pelumba pendaki bagi memburu kejayaan pada laluan berbukit.

Katanya, antara yang dijangka mencuri tumpuan ialah pasukan TotalEnergies yang akan mempertaruhkan enam pelumba pendaki, termasuk bekas pemenang jersi Raja Bukit Giro d’Italia 2021 dan Vuelta a Espana 2019, Geoffrey Bouchard selain Jordan Jegat.

“Perebutan jersi Raja Bukit dijangka sengit membabitkan pendakian Gunung Jerai, Cameron Highlands dari arah Tapah dan Genting Highlands.

“Jadi, bagi meningkatkan cabaran kepada pelumba pendaki tulen, penganjur menaikkan mata bagi zon ‘Hors Categorie’ (HC) daripada 15 kepada 25 mata, sekali gus menjadikan kutipan mata penuh di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands amat bernilai,” katanya.

LTdL 2026 dari 27 September hingga 4 Oktober ini yang memasuki edisi ke-30 penganjurannya menampilkan lapan peringkat perlumbaan membabitkan keseluruhan jarak 1,285.5 kilometer (km).

– Berita Harian