KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini memperkenalkan lapan (8) pelumba tempatan yang disenaraikan dalam pasukan awal kebangsaan bagi menghadapi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, yang akan berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober 2026.

Penyertaan Pasukan Kebangsaan Malaysia dalam LTdL 2026 merupakan satu platform penting untuk pelumba tempatan menguji kemampuan mereka di pentas perlumbaan bertaraf antarabangsa, selain memperoleh pengalaman bersaing dengan pelumba profesional dan pasukan antarabangsa.

Untuk edisi tahun ini, PKBM telah menyenaraikan lapan pelumba untuk menjalani persiapan serta penilaian akhir sebelum enam pelumba terbaik dipilih untuk membentuk barisan akhir Pasukan Kebangsaan Malaysia. Lapan pelumba yang disenaraikan ialah:

  1. Muhammad Zawawi Azman – ATM
  2. Muhammad Yusri Shaari – ATM/MSN
  3. Muhammad Zahin Wahii – ATM
  4. Muhammad Adam Hakimi Nazuan – Selangor / MSN
  5. Chan Jian Le – Selangor
  6. Muhammad Ameer Ahmad Kamal – PDRM
  7. Tsen Ren Han – Kuala Lumpur
  8. Muhammad Nazirul Aniq Abd Rahman – Johor

Daripada lapan pelumba tersebut, enam pelumba akan disenarai pendek dan dimuktamadkan pada 25 September 2026 bagi mewakili Pasukan Kebangsaan Malaysia sepanjang LTdL 2026.

PEMILIHAN BERDASARKAN PRESTASI SEMASA
Presiden PKBM, YBhg. Dato’ Amarjit Singh Gill, berkata proses pemilihan akhir akan mengambil kira prestasi semasa dan tahap kesiapsiagaan pelumba, selain keperluan taktikal pasukan.

“PKBM mengambil pendekatan untuk memberikan peluang kepada lapan pelumba bagi membuktikan kemampuan masing-masing sebelum senarai akhir dimuktamadkan. Enam pelumba terbaik akan dipilih berdasarkan penilaian pasukan kejurulatihan dan prestasi semasa mereka.”

“Apa yang penting ialah kita mahu enam pelumba yang benar-benar bersedia dari segi fizikal, mental dan taktikal untuk menggalas cabaran negara. LTdL merupakan perlumbaan yang sangat kompetitif dan kita mahu menghantar barisan terbaik yang mampu memberikan saingan kepada pelumba-pelumba antarabangsa.”

Menurut beliau, penyertaan pelumba tempatan dalam LTdL juga selari dengan usaha PKBM untuk terus membangunkan bakat dan memberikan pendedahan di peringkat tertinggi.

“Le Tour de Langkawi merupakan platform yang sangat penting kepada pembangunan pelumba lebuh raya negara. Beraksi di hadapan penyokong tempatan dan bersaing dengan pelumba profesional antarabangsa akan memberikan pengalaman yang amat bernilai kepada pelumba-pelumba kita.”

“Kami berharap peminat sukan berbasikal dan seluruh rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan. Mereka membawa nama Malaysia dan sudah pasti akan memberikan yang terbaik sepanjang perlumbaan.”

JURULATIH: SEMUA PELUMBA MEMPUNYAI PELUANG YANG SAMA
Pasukan Kebangsaan Malaysia akan dikendalikan oleh Jurulatih Kebangsaan, Mohd Yusof Abdul Nasir, yang akan mengetuai persiapan, penilaian serta strategi pasukan menjelang LTdL 2026.

Menurut beliau, pemilihan enam pelumba akhir tidak akan dibuat berdasarkan nama atau pencapaian terdahulu semata-mata, sebaliknya mengambil kira prestasi dan tahap kesiapsiagaan semasa setiap pelumba.

“Buat masa ini, kita mempunyai lapan pelumba dalam senarai awal untuk menjalani persiapan dan penilaian bersama pasukan kebangsaan. Semua lapan pelumba mempunyai peluang yang sama untuk merebut enam tempat terakhir.”

“Pemilihan akhir pada 25 September akan dibuat berdasarkan beberapa aspek penting, termasuk prestasi semasa, tahap kecergasan, kesediaan menghadapi perlumbaan, disiplin serta kesesuaian pelumba dengan strategi dan keperluan pasukan.”

Mohd Yusof berkata, LTdL memerlukan bukan sahaja kekuatan individu tetapi juga kerjasama, disiplin dan pemahaman taktikal sebagai satu pasukan.

“LTdL adalah perlumbaan yang mencabar dan berlangsung selama lapan hari. Setiap pelumba perlu memahami peranan masing-masing dan bersedia untuk bekerja sebagai satu pasukan. Kita akan menilai kemampuan mereka secara menyeluruh supaya enam pelumba yang dipilih benar-benar bersedia untuk menghadapi saingan.”

“Sasaran kita adalah untuk memberikan saingan terbaik sebagai Pasukan Kebangsaan Malaysia. Kita mahu pelumba-pelumba ini mengambil peluang untuk menimba pengalaman dan meningkatkan tahap mereka apabila berdepan dengan pelumba profesional serta pasukan antarabangsa.”

MENGGALAS CABARAN MALAYSIA DI LTdL 2026
LTdL 2026 yang berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober 2026 akan menyajikan cabaran yang berbeza sepanjang lapan hari perlumbaan, termasuk laluan yang memerlukan kekuatan fizikal, ketahanan, kemahiran taktikal dan kerjasama berpasukan.

Bagi pelumba-pelumba tempatan, penyertaan dalam LTdL bukan sahaja merupakan peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa, malah menjadi medan penting untuk mengukur tahap mereka selepas melalui program latihan dan pertandingan sepanjang musim.

PKBM berharap enam pelumba yang dipilih nanti dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di LTdL 2026 serta menunjukkan semangat juang, disiplin dan profesionalisme dalam membawa nama Malaysia.

PKBM juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada Pasukan Kebangsaan Malaysia sepanjang Le Tour de Langkawi 2026.

Semoga barisan pelumba negara yang terpilih dapat memberikan persembahan terbaik, mencipta keputusan yang membanggakan dan terus mengangkat nama Malaysia dalam arena berbasikal antarabangsa.