KUALA LUMPUR: Jerebu bukan penghalang buat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, namun penganjur tidak akan mengambil risiko sekiranya keadaan udara berubah sehingga boleh mengancam keselamatan pelumba.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya sudah bersedia dengan laluan alternatif bagi menghadapi kemungkinan perubahan cuaca termasuk jerebu, hujan dan banjir sepanjang perlumbaan berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober ini.

Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan perlumbaan akan dibuat berdasarkan peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), terutama jika keadaan cuaca atau kualiti udara tidak lagi selamat untuk pelumba.

“Cuaca ini, hujan, banjir, ini semua adalah kehendak Allah. Cuma yang penting bagi LTdL adalah acara sukan di bawah UCI dan dalam semua keadaan ada peraturan yang perlu dipatuhi,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Pasukan Malaysia LTdL 2026 di Majlis Sukan Negara, hari ini.

Tambah Emir, ada perlumbaan antarabangsa sebelum ini pernah dipendekkan, dilambatkan atau dihentikan sementara akibat keadaan cuaca, malah LTdL sendiri pernah berdepan situasi sama pada 2004 apabila perlumbaan di Negeri Sembilan dihentikan dan dineutralkan sementara susulan banjir.

Katanya, sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) akibat jerebu berada pada tahap terlalu tinggi dan membahayakan, tindakan termasuk menghentikan, menangguhkan atau membatalkan sesuatu peringkat boleh diambil mengikut peraturan UCI.

“Kalau IPU untuk jerebu terlalu tinggi dan dalam keadaan bahaya, ada peraturan. Mungkin mereka hentikan perlumbaan, mungkin terpaksa batalkan ataupun dilewatkan. Itu yang kita akan kemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pembatalan keseluruhan LTdL bukan pilihan yang sepatutnya dipertimbangkan, namun keputusan tegas perlu dibuat sekiranya jerebu pada sesuatu hari berada pada tahap amat berbahaya.

Jelasnya, kesihatan pelumba perlu menjadi keutamaan kerana mereka terdedah secara langsung kepada udara tercemar sepanjang perlumbaan.

“Untuk batal pelumbaan ini memang tiada dalam perancangan saya. Tetapi sekiranya keadaan cuaca jerebu pada hari tertentu sangat ekstrem dan berbahaya, penganjur mungkin perlu membuat keputusan penting, termasuk membatalkan sesuatu peringkat,” katanya.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

– Berita Harian