KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan tidak mahu sekadar menjadi pelengkap pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 biarpun menyedari cabaran sengit bakal menanti pada edisi kali ini.
Jurulatih negara, Mohd Yusof Abdul Nasir berkata, pihaknya lebih realistik dengan kemampuan skuad dibarisi pelumba daripada pasukan tempatan, namun tetap mahu mereka memberi saingan terbaik sepanjang perlumbaan.
Katanya, tumpuan utama diberikan kepada pelumba yang mempunyai kemampuan mendaki susulan tiga pendakian utama yang dijadualkan berlaku dari peringkat awal hingga peringkat kelima perlumbaan.
“Kita tahu peluang untuk membuat sesuatu agak sukar kerana ada kelebihan pasukan lain terutama pasukan profesional, tetapi kita jangan terlalu merendah diri dan meletakkan diri terlalu jauh. Jadi kita jangan mengalah dengan situasi ini.
“Saya berharap mereka dapat mengambil peluang ini untuk belajar dan merasai saingan di peringkat tertinggi.
“Kita akan cuba memberi saingan hebat dan kalau tidak dapat dalam keseluruhan perlumbaan, mungkin kita boleh buat sesuatu di peringkat Asia atau pada peringkat tertentu,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Pasukan Malaysia LTdL 2026 di Majlis Sukan Negara, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, beliau memperkenalkan empat pelumba utama yang akan menggalas cabaran negara nanti iaitu Muhammad Zawawi Azman dan Muhammad Yusri Shaari dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Muhammad Adam Hakimi Nazuan dan Chan Jian Le dari Selangor.
Sementara itu, empat lagi pelumba, Zahir Wahid (ATM), Ameer Ahmad Kamal (PDRM), Tsen Ren Han (Kuala Lumpur) dan Nazirul Aniq Abd Rahman (Johor) pula akan merebut dua lagi slot untuk melengkapkan enam pelumba.
Selain itu, Yusof menyatakan pihaknya tidak membawa pelumba pecut tulen, sebaliknya memberi keutamaan kepada pelumba serba boleh yang mampu mendaki sebelum bersaing dalam pecutan.
“Untuk pasukan tahun ini, kita memang bersedia untuk pendakian. Kita tidak ada super sprinter, tetapi ada pelumba yang boleh mendaki dan pada masa sama boleh melakukan pecutan seperti Jian Lee, Adam Hakimi dan Yusri Syahri.
“Zawawi Azman juga kembali bersama pasukan dan akan menjadi kapten tahun ini. Kita turut mempunyai Sen Seng Hong, pelumba muda yang berpengalaman beraksi di Eropah, khususnya di Sepanyol,” katanya.
– Berita Harian
