KUALA LUMPUR: Ketua pasukan skuad berbasikal lebuh raya negara, Muhammad Zawawi Azman menyasarkan Malaysia untuk mencabar perebutan Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober ini.

Menurut Zawawi, sasaran itu dilihat realistik berdasarkan barisan pelumba negara yang memiliki keupayaan mendaki, terutama bagi menghadapi tiga pendakian utama membabitkan Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Katanya, Malaysia juga mempunyai peluang untuk bersaing dengan pasukan dari rantau Asia Tenggara selepas Indonesia muncul pasukan Asia terbaik pada edisi tahun lalu.

“Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, tetapi kami cuba mencabar pasukan terbaik Asia. Tahun lepas kita tahu Indonesia muncul pasukan Asia terbaik, jadi kami rasa mereka tidak jauh daripada kita sebagai negara Asia Tenggara dan mungkin kita boleh cuba mencabar kategori itu.

“Untuk menang kategori pasukan Asia terbaik, kita perlu ada tiga pelumba yang sampai dahulu pada setiap peringkat. Kedudukan keseluruhan pasukan Asia dikira berdasarkan tiga pelumba Asia terbaik daripada pasukan yang sama.

“Jadi pasukan seperti Thailand, Indonesia, Nusantara Pro Cycling Team, Malaysia Pro Cycling (MPC) dan Terengganu Cycling Team (TSG) juga akan menjadi pencabar,” katanya.

Ketika ditanya mengenai laluan pada edisi kali ini yang menyaksikan terdapat tiga peringkat pendakian utama, pelumba dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu mengakui peringkat keempat dan kelima yang berlangsung secara berturut-turut membabitkan Cameron Highlands dan Genting Highlands bakal menguji kemampuan pelumba.

“Bagi pelumba yang pakar mendaki, dua hari itu memang penting. Bagi pasukan Malaysia, kami cuba melakukan breakaway (pecahan awal) sebelum pendakian supaya dapat berada di hadapan dan kemudian menyertai kelompok peloton utama ketika mendaki,” katanya.

Dalam pada itu, pelumba berpengalaman di LTdL itu berkata, pemilihan skuad negara tahun ini juga memberi penekanan terhadap pelumba yang mempunyai kemampuan mendaki atau mereka yang mampu menghadapi pelbagai cabaran dan tidak hanya fokus kepada satu kekuatan sahaja.

Tambah Zawawi, skuad negara turut menjalani kem latihan di Gerik sebagai persiapan menghadapi laluan sukar LTdL 2026, termasuk melakukan latihan di kawasan Gunung Jerai yang dijangka menjadi cabaran utama buat pelumba nanti.

“Daripada Gurun terus masuk ke Gunung Jerai memang sempit kerana laluan terus mendaki. Tetapi saya rasa tidak ada masalah kerana pasukan Malaysia pernah berlumba di Gunung Jerai sebelum ini.

“Cuma ketika mula masuk ke laluan itu mungkin berlaku perebutan posisi seperti ketika mahu memasuki pecutan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan sebarang kesilapan boleh mengundang kemalangan yang tidak diingini.

– Berita Harian