KUALA LUMPUR: Pendatang baharu dari Amerika Syarikat (AS), Modern Adventure Pro Cycling yang bakal membuat penampilan sulung pada Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) akan tampil dengan barisan seimbang bagi mencabar pasukan lebih berpengalaman.

Ditubuhkan secara rasmi pada pertengahan 2025, pasukan berpangkalan di Greenville, Carolina Selatan dan Girona Sepanyol itu membawa tiga pendaki Stefan De Bod, Kieran Haug dan Leo Hayter, selain tiga pakar pecut Robin Carpenter, Scott McGill dan Riley Pickrell.

De Bod dilihat sebagai taruhan utama selepas pelumba kelahiran Afrika Selatan itu pernah beraksi bersama pasukan tempatan TSG pada LTdL tahun lalu, selain mempunyai pengalaman empat Grand Tour.

Pelumba berusia 29 tahun itu turut hadir dengan prestasi meyakinkan selepas muncul juara kebangsaan acara ujian masa individu tahun ini dan menduduki tempat keempat keseluruhan AIUla Tour di Australia.

Sementara itu, Haug dan Hayter melengkapkan kekuatan di laluan berbukit, manakala McGill, Carpenter dan Pickrell boleh menjadi ancaman ketika perebutan kemenangan peringkat menerusi pecutan akhir.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran Modern Adventure mengingatkannya kepada Uno-X Mobility dan Tudor Pro Cycling yang juga bermula sebagai pasukan kurang dikenali sebelum berkembang menjadi pasukan elit.

“Tidak mustahil Modern Adventure yang kini berada di ranking ke-35 dunia, akan mengikut jejak langkah yang sama, lebih-lebih lagi mereka cukup giat berlumba di Amerika, Eropah dan kini Asia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

LTdL26 edisi ke-30 akan berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober, membabitkan lapan peringkat sejauh 1,285.5 kilometer dari Shah Alam-Kampar hingga Muar-Putrajaya.

Jelajah berstatus 2.ProSeries itu disertai dua pasukan WorldTeam, lapan ProTeam, sembilan pasukan Benua dan pasukan kebangsaan Malaysia.

– Berita Harian