KUALA LUMPUR: Lima pasukan berstatus Benua dari Asia yang bakal berentap pada Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) tidak boleh dipandang sebelah mata kerana berpotensi mencipta kejutan, termasuk memburu tempat di podium.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, barisan pelumba dari Nusantara Cycling Team (Indonesia), Thailand Continental Cycling Team (Thailand), 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina), Aisan Racing Team (Jepun) dan KSPO (Korea Selatan) mempunyai kemampuan untuk mencabar barisan pelumba pasukan lebih ternama.
Beliau berkata, sejarah LTdL membuktikan pelumba dan pasukan Asia mampu menyerlah serta mencabar dominasi pelumba dari Eropah termasuk menerusi kejayaan beberapa nama yang pernah mencipta kemenangan peringkat.
“Sejarah perlumbaan LTdL sebelum ini sering membuktikan pelumba dan pasukan Asia tidak kurang hebatnya seperti yang pernah dilakukan antaranya Wong Kam Po, Koji Fukushima, Samai, Anuar Manan, Taiji Nishitani, Mirsamad Pourseyedi, Wang Meiyin, Seo Joon Yong dan Hariff Saleh sendiri yang menang peringkat ketika mewakili pasukan berstatus Benua.
“Apa yang diperlukan oleh pelumba pasukan Benua adalah tidak berasa kerdil dan harus yakin kepada kemampuan sendiri untuk mengatasi pelumba handalan WorldTeam dan ProTeam dari Eropah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Emir berkata, kebijaksanaan mengatur strategi menjadi kunci untuk memastikan pelumba pasukan Benua mampu memberi cabaran hingga penghujung perlumbaan, khususnya dengan tiga pendakian sukar menanti di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.
Rekod LTdL menyaksikan pasukan dan pelumba berstatus Benua meraih penghormatan tertinggi apabila memenangi jersi pendahulu individu (GC) dan Pasukan Terbaik Keseluruhan.
Ia bermula pada LTdL 2007 apabila Giant Asia Racing Team muncul yang terbaik dalam klasifikasi berpasukan sekalipun disaingi pasukan handalan Eropah seperti Credit Agricole, Unibet.com, Tinkoff Credit System, Francais des Jeux dan Bouygues Telecom pada edisi ke-12 itu.
Tujuh tahun kemudian, Mirsamad dari Iran yang mewakili Tabriz Petrochemical Cycling Team muncul di tangga teratas senarai GC pada LTdL 2014.
Mengikuti jejak Mirsamad selepas itu ialah pelumba TSG dari Russia, Artem Ovechkim yang memenangi jersi pendahulu pada 2018, diikuti dua tahun berturut-turut oleh Sapura Racing Team (kini dikenali MPC Cycling) yang menyaksikan pelumbanya, Benjamin Dybal dan Danilo Celano berdiri di pentas utama pada 2019 dan 2020.
LTdL26 berstatus 2.ProSeries akan bermula dari Shah Alam ke Kampar pada 27 September ini dan berakhir dengan Peringkat 8 dari Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer (km).
– Harian Metro
