KUALA LUMPUR: Malaysia Pro Cycling (MPC) memasang impian memburu gelaran Pasukan Asia Terbaik selain melakar penamat di podium pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang membuka tirai, 27 September ini.

Pasukan berstatus benua itu mempertaruhkan empat pakar pendakian dan dua pakar pecut bagi mengharungi lapan peringkat perlumbaan membabitkan laluan keseluruhan sejauh 1,285.5 kilometer (km).

Bagi menghadapi saingan edisi ke-30 itu, MPC buat julung kalinya turut menggunakan khidmat pelumba luar apabila membawa masuk pelumba Filipina, Erickson Lopez yang juga pakar pendakian.

Pengarah Sukan MPC, Sayuti Zahit berkata, pengalaman Lopez diharap mampu menambah kekuatan pasukan khususnya ketika berdepan tiga zon pendakian yang mencabar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

“Sejujurnya, sasaran kami adalah memburu gelaran Pasukan Asia Terbaik selain podium di perlumbaan peringkat,” kata Sayuti ketika dihubungi.

Selain Lopez, MPC turut mempertaruhkan gabungan pelumba berpengalaman dan muda diketuai Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil.

Izzat akan mengemudi barisan muda terdiri daripada Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi, Muhammad Syawal Mazlin, Muhammad Iqmal Mohd Zarawi dan Muhammad Adam Danish Afdzal.

Lopez, Syawal, Iqmal dan Adam akan memainkan peranan sebagai pakar pendakian, manakala Izzat dan Iqbal diberi tanggungjawab sebagai pakar pecut.

“Kami sudah melihat laluan bagi tiga peringkat pendakian itu. Kita putuskan komposisi pelumba iaitu empat pendaki dan dua pecut dan itu strategi pertama.

“Untuk peringkat pendakian, kita sudah cuba sebanyak tiga kali dan harap empat pakar pendakian ini sudah memahami laluan berkenaan serta tahu apa yang perlu dilakukan masing-masing ketika perlumbaan nanti,” katanya.

Mengulas mengenai persaingan merebut gelaran Pasukan Asia Terbaik, Sayuti menjangkakan cabaran sengit daripada beberapa pasukan benua dari rantau Asia.

Katanya, Nusantara, Aisan Racing Team dan pasukan dari Thailand antara pencabar yang perlu diberi perhatian, selain skuad kebangsaan Malaysia.

“Tahun lalu, gelaran itu dimiliki Nusantara. Jadi bagi saya ia antara pencabar selain Aisan dan juga Thailand juga tidak kurang hebatnya.

“Selain itu, cabaran daripada pasukan Malaysia sendiri pun agak kuat,” tambahnya.

LTdL 2026 berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober ini, dengan penganjurannya menampilkan lapan peringkat perlumbaan.

Peringkat 1 dijadual berlangsung pada 27 September ini membabitkan laluan dari Shah Alam ke Kampar sejauh 193km.

– Berita Harian