KUALA TERENGGANU: Pasukan berbasikal bertaraf benua Terengganu Cycling Team (TSG) menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu podium dan tempat ke-10 terbaik keseluruhan pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dari 27 September hingga 4 Oktober ini.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya mempertaruhkan enam pelumba berpengalaman, termasuk tiga import dan tiga tempatan bagi mengharungi cabaran keseluruhan sejauh 1,258.5 kilometer (km).

Beliau berkata, pelumba terbabit ialah Muhammad Nur Aiman Rosli, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, Kee Zhe Yie, Adne Van Engelen, Zeb Kyffin dan Mathias Bregnhoj.

“Untuk perlumbaan LTdL yang bertaraf UCI 2.ProSeries kali ini, kami menetapkan sasaran yang lebih realistik memandangkan ia disertai oleh ramai pencabar bertaraf dunia.

“Cabaran utama pasukan dijangka hadir menerusi tiga peringkat berbukit, iaitu peringkat kedua dari Taiping ke Gunung Jerai sejauh 145.6 km pada 28 September, diikuti peringkat keempat dari Meru Raya ke Cameron Highlands sejauh 140.1km pada 30 September dan peringkat kelima dari Tapah ke Genting Highlands sejauh 127.5km pada 1 Oktober,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasiruddin berkata ketika ini, TSG yang berpangkalan di Kuala Terengganu berada di kedudukan ketiga terbaik Asia dengan 1,172 mata di belakang pasukan Li Ning Star (China) yang mengumpul 2247.33 mata dan Roojai Insurance Winspace (Thailand) dengan 1642.33 mata.

Beliau berkata TSG masih mempunyai enam baki perlumbaan sebelum tirai perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) musim ini tamat pada akhir Oktober depan.

“Enam perlumbaan itu ialah Oita Urban Classic Criterium pada 3 Oktober, Oita Urban Classic Road Race (4 Oktober), Tour de Kyushu Criterium (9 Oktober), Tour de Kyushu (10 hingga 12 Oktober), Sun Hung Kai Properties Hong Kong Cyclothon (11 Oktober) dan Polygon Ride (by Lerun) (18 Oktober).

“Dengan situasi semasa, kami menjangkankan TSG akan kekal di kedudukan ketiga terbaik Asia sehingga akhir musim ini,” katanya.

– Berita Harian