KUALA LUMPUR: Kehadiran bekas juara peringkat Tour de France dan Giro d’Italia, Fernando Gaviria secara mengejut menghangatkan persaingan Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang membuka tirai Ahad ini.

Pelumba Colombia berusia 32 tahun itu menjadi antara nama baharu dalam senarai pasukan Caja Rural-Seguros RGA selepas pasukan ProTeam Sepanyol berkenaan melakukan perubahan terhadap tiga pelumbanya menjelang saingan edisi ke-30 itu.

Gaviria yang memiliki 52 kemenangan sepanjang karier profesionalnya, termasuk lima peringkat Giro d’Italia dan dua peringkat Tour de France, akan menjadi pencabar utama pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli dalam perebutan jersi biru Raja Pecut.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, kemasukan Gaviria membuktikan perubahan senarai pelumba pada saat akhir bukan sesuatu yang luar biasa dalam perlumbaan jelajah.

“Kami tidak hairan dan sudah menjangkakan perubahan senarai pelumba kerana ia berlaku setiap tahun. Pasukan pasti mahu mengkaji bentuk laluan yang akan digunakan dan menilai tahap kecergasan terkini pelumbanya.

“Walaupun kehilangan beberapa nama hebat seperti Jordan Jegat (TotalEnergies) dan Maikel Zijlaard (Tudor Pro Cycling Team), kami mendapat khabar gembira apabila Gaviria disenaraikan, sekali gus mengangkat imej LTdL26 ini.

“Nama Gaviria dengan koleksi 52 kemenangan dalam kariernya termasuk di Giro dan Tour de France bakal menghangatkan saingan dua penjuru bagi perebutan jersi biru Raja Pecut dengan pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli,” katanya.

Gaviria menggantikan pakar pecut Portugal, Iuri Leitao yang sebelum ini disenaraikan Caja Rural-Seguros RGA, manakala pendaki Nil Aguilera turut digugurkan dan digantikan Jabier Ibanez Beltran de Salazar.

Satu lagi perubahan menyaksikan pendaki Gorka Corres digantikan Jan Castellon, 23, yang menduduki tempat kedua keseluruhan (GC) Tour of Qinghai Lake, Julai lalu dan kesembilan di AlUla Tour awal tahun ini.

Selain Caja Rural-Seguros RGA, 10 pasukan lain turut melakukan perubahan dalam senarai enam pelumba masing-masing, manakala dua pasukan memuktamadkan barisan selepas sesi pemilihan terakhir.

Picnic PostNL misalnya menggantikan empat pelumba dengan Mattia Gaffuri, Christiaan Van Rees, Matthew Peace dan Roy Hoogendorn bagi membentuk pasukan lebih seimbang.

Gaffuri dan Peace dijangka memainkan peranan dalam pendakian bagi membantu Guillermo Juan Martinez, manakala Van Rees dan Hoogendorn menjadi sokongan kepada pakar pecut pasukan, Dillon Corkery.

Burgos Burpellet-BH pula membawa masuk Daniel Cavia Sanz, Rodrigo Alvarez dan pelumba Jepun, Tomoya Koyama yang diharapkan mampu memainkan peranan dalam pecutan terakhir.

Bardiani CSF 7 Saber turut mengetengahkan tenaga muda dengan menyenaraikan dua pakar pecut, Filippo Cettolin, 20, dan Santiago Ferraro, 19, selain pendaki Mattia Stenico, 19.

Equipo Kern Pharma pula menggugurkan pakar pecut Marc Brustenga dan pendaki Ivan Cobo sebelum menggantikan mereka dengan pendaki muda Ibai Azanza Burusco, 22, serta pelumba Taiwan, Ho Yan Yi, 24.

Tudor Pro Cycling Team pula kehilangan pakar pecut Maikel Zijlaard yang digantikan pendaki berusia 22 tahun, Robin Donze, manakala TotalEnergies tidak menyenaraikan pendaki handalan Jordan Jegat dan menggantikannya dengan Nicolas Breuillard, 26.

Breuillard mencatat tempat kelima keseluruhan di Tour of Turkiye dan Tour Republik Czech tahun ini selain menduduki tangga ke-50 keseluruhan Tour de France, termasuk tempat kelapan Peringkat 8.

Pasukan benua turut membuat beberapa perubahan, antaranya 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines, KSPO Korea Selatan dan Aisan Racing Team dari Jepun.

Dua pasukan tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling Team (MPC) turut melakukan perubahan dengan TSG menggantikan pakar pecut Perancis, Pierre Barbier dengan pelumba muda tempatan, Kee Zhe Yie.

MPC dan skuad kebangsaan Malaysia pula sudah memuktamadkan senarai enam pelumba masing-masing selepas sesi pemilihan terakhir.

MPC diketuai juara kebangsaan 2026, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil bersama Muhammad Iqbal Daniel Nawawi, Muhammad Syawal Mazlin, Muhammad Iqmal Zarawi, Muhammad Adam Danish Afdzal dan pelumba kelahiran Filipina, Erickson Lopez.

Skuad kebangsaan pula menampilkan Muhammad Zawawi Azman sebagai ketua pasukan bersama Chan Jian Le, Muhammad Adam Hakimi Nazuan, Muhammad Yusri Shaari, Muhammad Zahin Wahii dan Tsen Ren Han.

Emir tidak menolak kemungkinan berlaku beberapa perubahan kecil lagi apabila pengurus pasukan menyerahkan senarai muktamad pada mesyuarat pengurus, 24 jam sebelum Peringkat 1 bermula.

LTdL26 berstatus 2.ProSeries membuka tirai dengan peringkat pertama Shah Alam-Kampar, Ahad ini, sebelum melabuhkan tirai menerusi peringkat kelapan Muar-Putrajaya dengan keseluruhan jarak 1,285.5 kilometer.

Jelajah itu memasuki edisi ke-30 dan dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

– Harian Metro