KUALA LUMPUR: Ia bagai satu peringatan buat pelumba tempatan baik yang mewakili pasukan benua mahu pun skuad kebangsaan apabila mereka tidak boleh memandang mudah cabaran di peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang menawarkan pendakian di Gunung Jerai.

Bekas pelumba berbasikal lebuh raya negara, Ng Yong Li mengakui pendakian berstatus CAT 1 itu bakal memberi kesukaran awal buat pelumba negara dan mungkin juga pakar pecut dari luar negara.

“Kalau boleh saya mahu pelumba tempatan mampu memberi tentangan dan lepasi halangan awal ini terlebih dahulu sebelum memikirkan pendakian di Genting Highlands (peringkat kelima),” katanya yang pernah menjadi pelumba Malaysia terbaik ketika pendakian di Genting Highlands pada 2007, 2008, 2009 dan 2010.

Dia yang pernah mewakili pasukan benua dari Portugal, Vitoria – ASC berkata, pendakian di Gunung Jerai ibarat mendaki Genting Highlands pada 10 kilometer (km) terakhir.

“Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pernah melakukan pendakian di Gunung Jerai walaupun ia buat kali pertama dimasukkan dalam kalendar LTdL.

“Ia pendakian yang menegak bukannya lebar dan kurang curam seperti Cameron Highlands. Jadi sama seperti Genting Highlands juga bakal berlaku pemecahan serta penamat solo,” katanya yang pernah menjadi pelumba terbaik Malaysia keseluruhan pada edisi 2007, 2008 dan 2009.

Yong Li yang pernah menjadi penolong pengarah sukan, Kuwait Pro Cycling Team pada 2002 bagaimanapun mengakui pelumba negara sudah pasti bersiap-sedia dan diberikan peringatan awal pihak pengurusan serta barisan kejurulatihan masing-masing.

“Saya rasa semua pelumba baik Malaysia Pro Cycling (MPC), Terengganu Cycling Team (TSG) dan juga skuad kebangsaan sudah mendapat tips daripada pengarah sukan masing-masing.

“Mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan baik pada pendakian Gunung Jerai, Cameron Highlands (peringkat keempat) dan juga Genting Highlands. Rata-rata mereka (pengarah sukan) adalah bekas pelumba,” katanya yang pernah mewakili pasukan RTS-Santic Racing Team, Azad University Cross Team, Letua Cycling Team, Meitan Hompo GDR dan Proton T-Bikes Cycling Team.

LTdL26 berstatus 2.ProSeries membuka tirai dengan peringkat pertama Shah Alam-Kampar esok, sebelum melabuhkan tirai menerusi peringkat kelapan Muar-Putrajaya dengan keseluruhan jarak 1,285.5km.

– Berita Harian