KAMPAR: Matteo Malucelli membuka tirai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dengan penuh bergaya apabila pelumba XDS Astana Team itu memenangi Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar, hari ini.

Pelumba Itali itu merekodkan masa 4 jam 6 minit 26 saat (4:06:26s) untuk menamatkan saingan sejauh 193 kilometer (km) dalam penamat pecut beramai-ramai.

Malucelli menewaskan Riley Pickrell dari Modern Adventure Pro Cycling dan Fernando Gaviria (Caja Rural-Seguros RGA) yang masing-masing mencatat masa sama untuk menduduki tempat kedua dan ketiga.

Lebih manis, Malucelli turut memegang jersi jingga dengan mendahului klasifikasi keseluruhan (GC) dan jersi biru (Raja Pecut) apabila mengumpul 15 mata, di depan Pickrell (12) serta Gaviria (9).

Kemenangan itu hadir kurang 24 jam selepas Malucelli terbabit kemalangan ketika menjalani latihan, semalam, apabila tergelincir di selekoh sebelum terhentak kuat pada tangannya.

Pelumba berusia 32 tahun itu kemudian menjalani pemeriksaan imbasan X (X-ray) dan dibenarkan meneruskan perlumbaan selepas tiada keretakan serius dikesan.

“Saya tidak tahu sama ada saya menang. Saya rasa iya, tetapi saya mahu melihat foto penamat kerana tahun lalu juga kami mendapat kejutan.

“Semalam saya terbabit kemalangan, jadi kalau saya menang peringkat pertama, ia satu tindak balas yang baik daripada badan saya,” katanya.

Kejayaan itu turut meneruskan momentum Malucelli yang meraih kemenangan terakhirnya di Tour of Taihu Lake, China, 11 hari lalu, selain menjadi kemenangan ke-23 dalam kariernya.

Malucelli berkata, kejayaan itu tidak akan hadir tanpa kerja keras rakan sepasukannya yang mengawal perlumbaan sebelum Gleb Syritsa melakukan lead-out (menerajui pasukan) pada penghujung perlumbaan.

“Pasukan melakukan kerja yang sangat baik sejak awal. Kami mengawal perlumbaan dan Gleb melakukan lead-out yang hebat, begitu juga Aaron (Gate) dan Gonov.

“Apabila terdapat banyak selekoh, ia memang sentiasa sukar, tetapi saya melakukan yang terbaik,” katanya.

Bagi klasifikasi Raja Bukit, Pet Rikunov dari China Development Team mengumpul empat mata diikuti Kee Zhe Yie (Terengganu Cycling Team) dengan dua mata dan Muhammad Syawal Mazlin (Malaysia Pro Cycling) satu mata.

Dalam saingan pelumba Asia, Muhammad Nur Aiman Rosli (Terengganu Cycling Team) muncul pelumba Asia terbaik dengan catatan 4:06:53s, diikuti Oda Hijiri dari ART dan Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil (Malaysia Pro Cycling).

Perlumbaan Peringkat 2 akan berlangsung dari Taiping ke Gunung Jerai dengan jarak 145.6km.

– Berita Harian