KAMPAR: Kurang 24 jam selepas terbabit kemalangan ketika menjalani latihan, Matteo Malucelli bangkit dengan aksi bertenaga apabila pelumba XDS Astana Team itu memenangi peringkat 1 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dari Shah Alam ke Kampar, hari ini.
Pelumba Itali berusia 32 tahun itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 4 jam 6 minit 53 saat (4:06:53) dalam perlumbaan sejauh 193 kilometer (km) yang berakhir menerusi penamat beramai-ramai.
Riley Pickrell dari Modern Adventure Pro Cycling dan Fernando Gaviria (Caja Rural-Seguros RGA) masing-masing mencatat masa sama untuk menduduki tempat kedua dan ketiga.
Kemenangan itu turut membolehkan Malucelli menyarung jersi jingga selaku pendahulu klasifikasi keseluruhan (GC), selain menguasai jersi biru Raja Pecut dengan 15 mata, diikuti Pickrell (12 mata) dan Gaviria (sembilan mata).
Lebih menarik, kejayaan tersebut hadir selepas Malucelli terbabit kemalangan ketika menjalani latihan kelmarin apabila tergelincir di sebuah selekoh sebelum terhentak kuat pada tangannya.
Dia kemudian menjalani pemeriksaan sinar-X dan dibenarkan meneruskan perlumbaan selepas tiada keretakan serius dikesan.
– Utusan Malaysia
