GURUN, Kedah – Taktikal tepat dan serba menjadi membolehkan pelumba Tudor Cycling Team, Lennart Jasch memenangi perlumbaan Peringkat 2 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang bermua dari Taiping ke Gunung Jerai sejauh 143km, hari ini.
Kejayaan itu membolehkan pelumba German berusia 25 tahun itu merampas jersi oren pendahulu tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan jersi polka dot Raja Bukit tajaan Bubbles O2.
Jasch yang tampil kali pertama bersama Tudor di LTdL menamatkan kayuhan yang membabitkan pendakian curam pada 11km terakhir itu dengan masa 3 jam 37 minit 21 saat, di depan dua pelumba Caja Rural-Seguros RGA, Abel Balderstone yang tercicir 26 saat dan Jan Castellon Robalt (32s).
Dia kini mendahului senarai keseluruhan dengan catatan terkumpul 7j 44m 04s, 20s di depan Balderstone, selain mengumpul 15 mata dalam senarai klasifikasi Raja Bukit, hanya 3 mata berada di depan pelumba Sepanyol itu.
“Ia tidak mengejutkan kerana saya juga berasal dari kawasan berbukit. Hari ini, segala-galanya mengenai siapa yang lebih kuat ketika mendaki. Saya tetap menghormati dua pelumba Caja Rural itu yang berkayuh dengan baik.
“Rakan sepasukan melakukan tugas dengan baik untuk membawa saya ke depan ketika bermula pendakian dan saya kekal berada dalam kelompok pertama manakala beberapa pelumba lain mula tercicir.
“Selepas itu saya lihat ada pelumba (Balderstone) yang meloloskan diri tetapi saya tetap bertenang dan hanya mengorak kayuhan laju pada baki 2km sebelum memintasnya pada kira-kira 500 meter dari garisan penamat,” kata Jasch yang mengumpul satu kemenangan di Tour of the Alps dan pernah menimba pengalaman bersama pasukan WorldTeam, Redbull Bora-Hangrove.
Menurut Jasch lagi, kemenangan di Gunung Jerai itu juga memberikannya sedikit keyakinan untuk menghadapi dua lagi pendakian yang lebih sukar di Cameron Highlands dan Genting Highlands, selepas ini.
Sementara itu, pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli yang menang pada Peringkat 1 di Kampar semalam, masih mengekalkan jersi biru Raja Pecut tajaan Sekretariat Penganjur Sukan SEA dan Para 2027 (MASOC), dengan 17 mata, 5 mata di depan pencabar terdekat dari Modern Adventure Cycling Team, Riley Pickrell.
Jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Majlis Sukan Negara (MSN) juga beralih tangan kepada pelumba Aisan Racing Team, Yuhi Todome (7j49m04s), 15 saat di depan pelumba TSG, Kee Zhe Yie manakala Tsen Ren Bao yang mewakili St George Continental Team, berada 39s di belakang.
Di awal perlumbaan yang dilepaskan di Dataran Warisan Taiping, cubaan meloloskan diri dapat dilihat termasuk usaha pelumba Malaysia Pro Cycling, Muhammad Iqbal Daniel Mohd Nawawi yang dianugerah Pelumba Paling Kombatif kerana menjarakkan diri sejak awal dan berkayuh secara solo pada hampir 20km tetapi dua insiden tayar pancit menyebabkan dia mengalah dan ditangkap peloton pada baki 20km menuju penamat.
Dua pelumba pasukan Benua, 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines, Cormc McGeogh dan Bradley Perkins gagal menamatkan kayuhan Peringkat 2 itu dan terkeluar daripada saingan untuk Peringkat 3 dari Sungai Petani-Kuala Kangsar sejauh 189.9km, esok.
Ada tiga zon pecutan di Kuala Ketil, Lawin dan Sauk serta satu zon pendakian Kategori 2 di Gerik, yang mungkin menyaksikan perebutan mata untuk klasifikasi Raja Pecut dan Raja Bukit, dan perlumbaan diramal berakhir dengan henjutan beramai-ramai oleh pakar pecut.
LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries dengan jarak keseluruhan 1,285.5km tahun ini, dianjurkan KBS menerusi MSN dan mendapat kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

