GUNUNG JERAI: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie mencetuskan semangat baharu buat dirinya apabila muncul pelumba Malaysia pertama melintasi garisan penamat Peringkat 2 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 di Gunung Jerai, hari ini.
Zhe Yie yang menamatkan perlumbaan sejauh 145.6 kilometer (km) di tempat ke-27 dari Taiping itu berkata, pencapaian berkenaan menjadi pembakar semangat untuk menghadapi dua lagi pendakian berstatus Hors Class di Cameron Highlands dan Genting Highlands.
Pelumba berusia 23 tahun itu berkata, dia pada awalnya cuba melancarkan serangan untuk memburu mata pendakian sebelum mengambil peluang melakukan gerakan pada pendakian terakhir menuju Gunung Jerai.
“Perancangan saya hari ini sebenarnya nak cuba masuk ‘breakaway’, tetapi tidak lepas. Saya juga cuba untuk mengambil KOM (zon pendakian di Selama), tetapi tidak berjaya.
“Jadi, saya cuba pada pendakian terakhir. Saya tidak menyasarkan apa-apa, cuma mahu menghabiskan perlumbaan,” katanya kepada media selepas perlumbaan.
Zhe Yie turut mendedahkan bahawa dia mendapat galakan daripada jurulatih untuk memberikan saingan untuk perebutan gelaran Pelumba Terbaik Asia, namun terpaksa akur selepas pelumba Aisan Racing Team, Yuhi Todomi, mengejarnya dari belakang.
“Jurulatih pun beritahu saya boleh bersaing untuk Pelumba Terbaik Asia, tetapi pelumba Jepun itu mengejar dari belakang. Jadi, saya nombor dua,” katanya.
Mengakui Gunung Jerai yang berketinggian 971 meter (m) itu adalah pengalaman pertamanya, Zhe Yie menyifatkan pendakian berkenaan sebagai ujian getir dengan beberapa bahagian yang cukup curam.
“Ini kali pertama saya naik Gunung Jerai. Memang banyak bahagian pendakian yang curam,” katanya.
Zhe Yie berkata, dia tidak mempunyai sasaran khusus untuk dua lagi pendakian yang bakal ditempuhi di Cameron Highlands dan Genting Highlands, sebaliknya mahu memberikan kayuhan terbaik dalam setiap peringkat.
Mengenai peluang untuk mencipta keputusan lebih baik pada pendakian seterusnya, Zhe Yie memilih untuk tidak meletakkan tekanan kepada dirinya, sambil mengakui pelumba tempatan lain turut mempunyai kemampuan di laluan berbukit.
“Tak ada apa-apa. Malaysia pun ada pelumba seperti Tsen Ren Bao (St George Continental Team), dia pun kuat juga. Apa-apa pun, kita cuba sama-sama. Tak kisah siapa di depan,” katanya.
Zhe Yie turut menyifatkan keputusan di Gunung Jerai sebagai langkah positif yang mampu meningkatkan keyakinannya untuk menghadapi baki perlumbaan.
“Sesuatu yang bagus dan menaikkan lagi semangatlah,” katanya.
Peringkat 3 LTdL 2026 esok membabitkan laluan landai dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar sejauh 189.7 kilometer (km).
Cabaran pendakian kembali pada Peringkat 4 dari Meru Jaya ke Cameron Highlands yang berstatus Hors Class, sebelum peloton berdepan satu lagi pendakian berstatus sama pada Peringkat 5 dari Tapah ke Genting Highlands.
– Berita Harian
