GUNUNG JERAI: Gunung Jerai berpotensi menjadi antara lokasi wajib dalam kalendar Le Tour de Langkawi (LTdL) selepas mendapat sambutan menggalakkan pada penampilan sulungnya tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, laluan pendakian ikonik di Kedah itu bukan saja menawarkan cabaran baharu kepada pelumba, malah mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat sukan berbasikal tempatan.

Beliau berharap laluan berkenaan dapat terus dikekalkan pada edisi akan datang sebagai antara ‘checkpoint’ menarik dalam perlumbaan berprestij itu.

“Insya-Allah. Kita harapkan semua checkpoint yang menarik ini dapat dikekalkan dan keterujaan itu dapat kita rasai secara bersama,” kata Mohammed Taufiq.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelepasan Peringkat Ketiga LTdL 2026 dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar di Taman Jubli Perak, di sini, hari ini.

Menurutnya, LTdL 2026 yang membabitkan keseluruhan jarak 1,285.5 kilometer (km) turut menampilkan tiga penamat di kawasan berbukit – Gunung Jerai, Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Katanya, kepelbagaian laluan berkenaan memberi identiti tersendiri kepada edisi kali ini selain menguji kemampuan pelumba dalam menghadapi pendakian.

“Kita akan terus memperkemas dan meningkatkan penganjuran LTdL pada tahun-tahun akan datang.

“Pada masa sama, kita juga mahu memanfaatkan penganjuran kali ini bersama MASOC untuk mempromosikan Jelajah Sukan SEA 2027,” katanya.

LTdL 2026 akan melabuhkan tirainya pada 4 Oktober menerusi Peringkat 8 dari Muar ke Putrajaya sejauh 188.3km.

– Berita Harian