CAMERON HIGHLANDS: Tindakan Petr Rikunov menukar misi daripada memburu kedudukan individu keseluruhan (GC) kepada kemenangan peringkat membuahkan hasil apabila pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team muncul juara Peringkat 4 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, hari ini.
Rikunov, 29, menamatkan perlumbaan sejauh 142.3 kilometer (km) dari Meru Raya ke Cameron Highlands dengan catatan 3 jam 29 minit 12 saat (s), mengatasi Javier Ibanez (Caja Rural-Seguros RGA) dengan kelebihan tiga saat, manakala Alan Jousseaume (TotalEnergies) di tempat ketiga, sembilan saat di belakang.
Kemenangan itu cukup bermakna buat Rikunov yang kali terakhir meraih kemenangan pada Peringkat 7 Tour of Magnificent Qinghai 2025 di China, 12 Julai tahun lalu.
“Saya sangat gembira kerana ini hari sangat bermakna buat saya dan juga kemenangan penting bagi pasukan kami.
“Kami datang ke sini dengan matlamat besar untuk GC bersama Jonathan Klever Caicedo, tetapi Peringkat 2 sangat sukar buatnya dan kakinya tidak berdaya.
“Jadi selepas itu kami ubah strategi untuk cuba masuk breakaway setiap hari dan memburu kemenangan peringkat,” katanya.
Rikunov berkata, sejak sebelum perlumbaan bermula lagi dia sudah menyasarkan untuk berada dalam kumpulan yang melakukan pemecahan kerana percaya peluang kemenangan terbuka luas jika mereka mampu membawa kelebihan masa besar memasuki pendakian.
“Hari ini kami mengayuh habis-habisan sepanjang hari bersama pelumba lain dalam breakaway.
“Kami percaya jika kami memulakan pendakian dengan jurang tiga atau empat minit, mereka sukar untuk mengejar dan kami boleh menang peringkat ini,”katanya.
Pelumba Rusia itu kemudian menunggu masa sesuai sebelum meledak pada penghujung perlumbaan untuk memastikan kemenangan.
“Saya tunggu masa yang sesuai untuk membuat serangan. Pada kilometer terakhir, saya hanya kayuh sekuat tenaga ke hadapan dan tidak menoleh ke belakang langsung,” katanya.
Dalam saingan GC (Jersi Jingga), Lennart Jasch daripada Tudor Pro Cycling Team terus menguasai dengan catatan keseluruhan 15:46:50s saat, diikuti dua pelumba Caja Rural-Seguros RGA, Abel Balderstone (20s) dan Jan Castellon (38s).
Jersi Putih (Terbaik Asia) pula disarung Yuhi Todome (Aisan Racing Team) dengan masa 15:51:50s, manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie berada di tempat kedua, 35s di belakang, dan rakan senegara, Tsen Ren Bao ketiga dengan jurang 50s.
Rikunov pula mengambil alih jersi Raja Bukit (Polka Dot) selepas kemenangannya hari ini apabila mengumpul 29 mata, meninggalkan Javier Ibanez dengan 20 mata dan Jasch 19 mata.
Sementara itu, jersi Raja Pecut masih menjadi milik Matteo Malucelli (XDS Astana Team) dengan 32 mata, diikuti Riley Pickrell (MAP) 24 mata dan Ronan Augé (Unibet Rose Rockets) 14 mata.
Peringkat 5 akan bermula dari Tapah ke Genting Higlands sejauh 125.7km, dengan menawarkan tiga zon pecutan Slim River, Tanjung Malim dan Batang Kali, zon pendakian pula di Genting Highlands (Hors Class).
– Harian Metro
