BATU PAHAT, Johor – Pelumba Equipo Kern Pharma, Nil Gimeno Ferrer membuat kejutan apabila meraih kemenangan peringkat pertama dalam karier profesionalnya selepas memenangi Peringkat 7 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dari Melaka ke Batu Pahat, Johor hari ini.

Dalam peringkat landai yang diramal berakhir dengan pecutan beramai-ramai itu, Gimero yang berada dalam kumpulan breakaway awal membabitkan 7 pelumba tetapi mengecil kepada hanya 4 pelumba, bijak memanfaatkan peluang untuk memintas pelumba pasukan Burgos Burpellet-BH, Mario Aparicio serta pemenang ketiga dari Wheeltop Rotor Chengdu, Andrei Stepanov.

Pelumba Terengganu TSG dari Belanda, Adne van Engelen yang turut berada dalam kumpulan depan itu, dianugerahkan sebagai Pelumba Paling Kombatif bagi Peringkat 7 itu.

Gimeno menamatkan kayuhan sejauh 158.9km yang bermula di Dataran Pahlawan, Melaka dan berakhir di Jalan Rahmat, Batu Pahat itu dengan catatan masa 3 jam 12 minit 33 saat – 33 saat di depan kumpulan besar peloton yang diketuai pemenang Peringkat 6 dari Modern Adventure Cycling Team, Riley Pickrell.

Di akhir kayuhan Peringkat 7 itu yang berjalan di bawah cuaca panas terik, semua pendahulu mengekalkan jersi masing-masing yang mana pemegang jersi oren keseluruhan (GC) tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Lennart Jasch (Tudor Pro Cycling) masih unggul memimpin kedudukan dengan kelebihan 26 saat di depan pencabar terdekat Abel Balderstone (Caja Rural-Seguros RGA).

Tanpa sebarang zon pendakian, Jasch juga terus mengekalkan jersi polka dot Raja Bukit tajaan Bubbles O2 dengan 4 mata di depan Petr Rikunov (Wheeltop Rotor Chengdu) manakala pemenang Peringkat 1 dan 3 dari pasukan WorldTeam XDS-Astana, Matteo Malucelli yang mengumpul 49 mata, akan terus berentap dengan pencabar terdekatnya, Pickrell (45 mata) untuk mengekalkan jersi biru Raja Pecut tajaan Sekretariat Penganjur Sukan SEA dan Para 2027 (MASOC) sehingga peringkat terakhir, esok.

Pelumba Aisan Racing Team, Yuhi Todome juga masih selamat menyarung jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan memastikan jarak 3:44s di depan pelumba Malaysia yang mewakili St George Continental Cycling Team, Tsen Ren Bao.

Namun, Peringkat 7 itu nyata satu kemenangan yang amat bermakna buat Gimeno, pelumba kelahiran Valladolid berusia 22 tahun, yang sekadar menghuni tangga ke-51 keseluruhan dan ketiga klasifikasi Raja Bukit pada penampilan LTdL25.

“Saya terlalu gembira, malah masih tidak percaya. Ibarat berada di bulan. Saya akui agak kekok ketika dikerumuni wartawan dan menjawab soalan dalam sidang media.

“Tidak dinafikan ini satu kemenangan bermakna, bukan saja untuk saya tetapi seluruh rakan pelumba, kru dan pengurusan pasukan kerana posisi kami untuk musim depan masih samar-samar dan mungkin dibubarkan.

“Saya berharap dengan kemenangan hari ini, ia dapat meyakinkan penaja kami atau penaja lain bagi membantu pasukan ini bertahan sebagai sebuah pasukan,” katanya yang memilih detik tepat dari laluan sebelah kirinya untuk menghenjut laju ke garisan penamat.

Malah, dia berkata semua pelumba yang berada dalam kumpulan breakaway itu membantunya untuk meraih kemenangan hari ini kerana bekerja keras memastikan jarak selamat di depan peloton diketuai Astana dan Tudor yang mengejar dengan laju.

Sementara itu, Jasch, pelumba Jerman dari Munich, akui peloton dipaksa bekerja keras sepanjang hari untuk menangkap kumpulan depan yang berkayuh laju.

“Ya, semakin hampir (peringkat terakhir) dan nampak mudah tetapi hakikatnya semua pelumba bekerja dengan keras, malah saya tidak percaya dengan tempo kelajuan kumpulan depan hari ini.

“Tetapi saya hanya perlu bertahan dan gambaran dinobatkan sebagai pemenang GC dalam jelajah ini semakin nyata. Esok, hari terakhir dan saya perlu bertahan,” kata Jasch yang menang Peringkat 2 di puncak Gunung Jerai dan masih bertahan sehingga hari ini.

Esok, Peringkat 8 dan terakhir akan bermula di Muar dan berakhir di Putrajaya, membabitkan jarak sejauh 1188.3km dan ia bakal menjadi peluang terakhir bagi pelumba lain mencabar empat jersi utama dalam edisi ke-30 LTdL ini.

Seramai 109 pelumba yang masih meneruskan kayuhan akan dilepaskan di Dataran Tanjung Emas, Muar dan menempuh tiga zon pecut di Simpang Ampat, Seremban dan Nilai serta satu zon pendakian Kategori 3 di Bukit Mantin, sebelum berakhir di depan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya.

Perlumbaan diramal berakhir dengan henjutan beramai-ramai pakar pecut tetapi tidak mustahil akan menyaksikan tindakan pemecahan dalam kumpulan breakaway kecil seperti yang berlaku pada perlumbaan Peringkat 7.

Edisi ke-30 LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries dianjurkan KBS menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).