BATU PAHAT: Pelumba Equipo Kern Pharma, Nil Gimeno, seakan hilang kata-kata selepas meraih kemenangan profesional pertama dalam kariernya selepas menjuarai Peringkat 7 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dari Melaka ke Batu Pahat, hari ini.
Gimeno muncul juara selepas memenangi penamat daripada kelompok breakaway yang bertahan sehingga ke garisan penamat dalam perlumbaan sejauh 158.9 kilometer, (km) dengan catatan masa 3 jam 12 minit 33 saat (s).
Pelumba berusia 22 tahun itu menewaskan Mario Apuricio (Burgos-Burpellet-BH) di tempat kedua, manakala Andrei Stepanov (WheelTop Rotor Chengdu Team) menduduki tempat ketiga.
Lebih bermakna, kejayaan itu hadir selepas Gimeno mengakui dia sendiri tidak menjangkakan mampu meraih kemenangan ketika perlumbaan memasuki kilometer terakhir.
“Tidak, sejujurnya tidak. Saya tidak percaya,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Menurut Gimeno, misi Equipo Kern Pharma ke LTdL adalah untuk memenangi sekurang-kurangnya satu peringkat selepas percubaan mereka pada Peringkat 4 tidak berhasil.
“Kami datang ke sini untuk memenangi satu peringkat. Kami sangka ia adalah Peringkat 4, tetapi ia tidak menjadi.
“Hari ini saya tidak menyangka semua pelumba dalam kelompok pemecah mengayuh sehabis tenaga sepanjang hari. Semua orang memberi kerjasama dan kami berjaya melakukannya,” katanya.
Gimeno berkata, dia hanya mula percaya kemenangan berada dalam genggaman apabila perlumbaan berbaki satu kilometer.
“Pada satu kilometer terakhir saya fikir, ‘Tidak, saya mesti menang hari ini’. Saya tahu mereka juga laju, tetapi saya sangat yakin dengan pecutan saya. Jadi saya hanya mahu berada di belakang dan memulakan pecutan ketika berbaki 200 hingga 150 meter.
“Ia sangat luar biasa,” katanya yang meraih tempat ketiga di Peringkat 8 tahun lalu dari Tangkak ke Kuala Lumpur.
Selepas tujuh peringkat, Lennart Jasch (Tudor Pro Cycling Team) kekal memegang jersi pendahulu keseluruhan (Jersi Jingga) dengan masa 24:51:45s. Abel Balderstone (Caja Rural-Seguros RGA) di tempat kedua, ketinggalan 26s, manakala rakan sepasukannya Jan Castellon ketiga pada 42s.
Bagi Raja Pecut, pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli masih menguasai Jersi Biru dengan 50 mata, diikuti Riley Pickrell (Modern Adventure Pro Cycling) dengan 39 mata dan Seppe Van den Boer (Tudor Pro Cycling Team) dengan 24 mata.
Sementara itu, Jasch kekal menguasai klasifikasi Raja Bukit dengan 45 mata, mengatasi Petr Rikunov (Wheeltop Rotor Chengdu Team) yang mengumpul 41 mata dan Castellon dengan 26 mata.
Dalam klasifikasi pelumba terbaik Asia, pelumba Jepun Yuhi Todome (Aisan Racing Team) terus mendahului dengan catatan masa 24:59:06s diikuti pelumba Malaysia Tsen Ren Han di tempat kedua dengan 25:04:31s, manakala abangnya, Tsen Ren Bao (St George Continental Team) ketiga dengan catatan masa sama.
Peringkat terakhir esok akan bermula dari Muar ke Putrajaya sejauh 188.3km dengan menawarkan tiga zon pecutan di Simpang Ampat, Seremban dan Nilai, manakala zon pendakian di Bukit Mantin.
– Berita Harian
