BATU PAHAT: Pelumba Equipo Kern Pharma, Nil Gimeno mencipta kejayaan terbesar dalam kariernya apabila muncul juara Peringkat 7 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dari Melaka ke Batu Pahat, hari ini.

Pelumba berusia 22 tahun itu menamatkan penantian untuk kemenangan profesional pertama selepas mengungguli perlumbaan sejauh 158.9 kilometer (km) dengan catatan masa 3 jam 12 minit 33 saat.

Gimeno memanfaatkan kekuatan kelompok pelarian yang berjaya bertahan sehingga ke garisan penamat sebelum mengatasi Mario Aparicio (Burgos-Burpellet-BH) di tempat kedua, manakala Andrei Stepanov (WheelTop Rotor Chengdu Team) melengkapkan podium di tempat ketiga.

Menariknya, pelumba kelahiran Sepanyol itu sendiri tidak menjangka kemenangan tersebut mampu direalisasikan, malah hanya mula percaya peluangnya terbuka ketika perlumbaan memasuki kilometer terakhir.

“Tidak, sejujurnya tidak. Saya sendiri tidak percaya,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan di sini, hari ini.

– UTUSAN