PUTRAJAYA – Matteo Malucelli menepati sasaran peribadinya untuk pulang dengan tiga kemenangan peringkat apabila mengungguli Peringkat 8 dan terakhir Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL 26) yang berakhir di Putrajaya, hari ini.
Kemenangan itu, kesembilan dalam kariernya di LTdL sejak 2024 mengesahkan pelumba Itali berusia 32 tahun itu menyarung jersi biru Raja Pecut tajaan Sekretariat Penganjur Sukan SEA dan Para 2027 (MASOC), dan menyamai jumlah kemenangan peringkat yang dipegang Graeme Brown.
Begitupun, ia masih jauh dengan rekod 24 kemenangan peringkat milik seorang lagi pelumba Itali yang pernah menyarung jersi XDS-Astana, Andrea Guardini.
Dalam henjutan terakhir dari kayuhan bermula di Muar sejauh 188.3km itu, Malucelli sekali lagi mengecewakan pelumba Modern Adventure Cycling Team, Riley Pickrell manakala Christian Van Rees (Picnic PostNL) di tempat ketiga, mengetuai peloton dengan masa 4 jam 06 minit 17 saat.
Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Lennart Jasch pula mengesahkan dua jersi menjadi miliknya di akhir jelajah 8 peringkat itu, menyarung jersi oren individu keseluruhan (GC) tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan masa terkumpul 26 jam 57 minit 02 saat, 26 saat di depan pencabar dari Caja Rural-Seguros RGA, Abel Balderstone.
Jasch, pelumba kelahiran Munich berusia 25 tahun yang hanya bertukar profesi dari sukan luncur kepada lumba basikal tidak sampai tiga tahun lalu, turut mengesahkan jersi polka dot Raja Bukit tajaan Bubbles O2 dengan mengumpul 45 mata, 4 mata di depan pelumba Wheeltop Rotor Chengdu, Petr Rikunov.
Sementara itu, pelumba Aisan Racing Team Yuhi Todome turut mengesahkan usaha kerasnya di pendakian Gunung Jerai bagi membolehkan dia pulang dengan gelaran Pelumba Terbaik Asia apabila memenangi jersi putih tajaan Majlis Sukan Negara (MSN), 3:44s di depan pelumba Malaysia Tsen Ren Bao yang mewakili pasukan Benua St George Continental Cycling Team.
Dalam pada itu, Caja Rural turut dinobatkan sebagai pasukan terbaik dalam edisi ke-30 LTdL26 ini apabila mengumpul catatan masa keseluruhan 87 jam 2 minit 12 saat, 3:33s di depan Unibet Rose Rockets.
Wakil Indonesia, Nusantara Cycling Team pula mengekalkan status Pasukan Terbaik Asia (87:42.33s), 4:34s di depan WheelTop Rotor Chengdu.
Ketika menceritakan detik-detik kemenangannya pada Peringkat 8 itu, Malucelli berkata, usahanya berhasil kerana kerjasama sempurna rakan sepasukan Lev Gonov dan Gleb Syritsa yang memacunya ke depan sebelum membuka ruang selesa untuk ke garisan penamat.
“Hari ini kami mengawal perlumbaan dengan Harold (Martin Lopez) dan Aaron (Gates) berusaha mengejar kelompok breakaway dan Gonov dan Syritsa meletakkan saya ke depan sebelum memecut pada 50 meter terakhir. Jelas ia satu kerjasama yang baik.
“Sebenarnya, dengan hanya satu atau dua pencabar lebih sukar berbanding jika ada ramai pakar pecut. Kali ini, pasukan lain lebih mementingkan kedudukan dalam GC, jadi tiada ramai pakar pecut dan mudah jika saingan ‘head to head’.
“Kejayaan pada LTdL26 ini diharap akan meyakinkan pasukan untuk menghantar saya lagi ke sini di masa akan datang. Saya seronok berlumba di Malaysia. Seolah-olah ramai mengenali saya,” katanya yang mengakui dia lebih popular di Malaysia berbanding negaranya Itali.
Seperti di tujuh peringkat sebelum ini, beberapa cubaan meloloskan diri dapat disaksikan dan kali ini, enam pelumba iaitu Oda Hijiri dan Rui Udagawa (Aisan), Ibai Azanza (Equipo Kern Pharma); Zeb Kyffin (TSG), Jonathan Caicedo (Chengdu) dan Peerapol Chawchiangwank berjaya membuat breakaway dan menguasai zon-zon pecutan di Simpang Ampat, Seremban dan Nilai serta satu zon pendakian di Bukit
Mantin sebelum peloton yang dipacu Tudor dan Astana berjaya mengejar dan menangkap kelompok depan itu.
Ketika memasuki Putrajaya, peloton bergerak laju dan Astana meletakkan empat pelumbanya di depan sebelum strategi kemenangan Malucelli yang digunakan di Peringkat 1 (Kampar) dan 3 (Kuala Kangsar) diulangi.
Nada kegembiraan turut dikongsi Jasch, yang pada awalnya hanya mensasarkan kedudukan lima teratas, tetapi keputusan baik di Gunung Jerai menyebabkan dia lebih fokus untuk mempertahankan dua jersi oren dan polka dot yang dimenangi.
“Mungkin ada sedikit kesilapan di Cameron Highlands (dimenangi Rikunov) tetapi saya menebusnya semula dan terus bertahan hingga ke akhir.
“Hari ini, sama seperti tiga hari sebelumnya, amat sukar kerana jarak yang lebih jauh dan cuaca begitu panas. Sentiasa ada cabaran tetapi saya gembira kerana mendapat bantuan baik dari rakan sepasukan.
“Memang seronok setiap kali melangkah ke podium sambil mendengar lagu (Simply The Best) tetapi itu semua atas usaha keras sejak beberapa tahun dan kepercayaan yang diberikan pengurusan.
“Sukar dipercayai. Belum cukup setahun bergelar pelumba profesional tetapi kini saya memenangi perlumbaan bertaraf 2.ProSeries. Saya harap ia dapat membuka mata lebih banyak pihak.
“Kejayaan di sini juga cukup bermakna dan istimewa bagi saya kerana melakukannya di luar Eropah,” kata Jasch yang akan terbang ke Itali selepas ini untuk menyertai Giro Il Lombardia, dari Bergamo ke Como sejauh 239km, Sabtu ini.
Edisi ke-30 LTdL26 sejauh 1,285.5km yang bermula 27 September lalu dianjurkan KBS menerusi MSN dan mendapat kerjasama penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

