PUTRAJAYA: Lennart Jasch mencipta sejarah peribadi apabila merangkul dua gelaran pada Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), selepas dinobatkan juara keseluruhan (GC) dan Raja Bukit pada perlumbaan yang berakhir di Putrajaya, hari ini.

Pelumba Tudor Pro Cycling Team itu mengesahkan kejuaraan GC selepas menamatkan saingan lapan peringkat dengan catatan keseluruhan 28 jam 57 minit 2 saat (s), meninggalkan pencabar terdekat, Abel Balderstone (Caja Rural-Seguros RGA) dengan kelebihan 26 saat.

Rakan sepasukannya, Jan Castellon pula menduduki tempat ketiga keseluruhan, 42 saat di belakang Jasch.

Pada masa sama, pelumba kelahiran Jerman berusia 26 tahun itu turut menguasai klasifikasi Raja Bukit selepas mengumpul 45 mata, mengatasi Petr Rikunov (Wheeltop Rotor Chengdu Team) dengan 41 mata dan Castellon yang mengutip 26 mata.

“Saya sangat gembira. Ia satu lagi hari yang amat sukar. Atas kertas mungkin nampak mudah tetapi ia sama sekali tidak mudah, terutama tujuh atau lapan kilometer terakhir.

“Ia hari yang sangat sukar dan saya amat berterima kasih kepada pasukan serta segala sokongan yang diberikan sepanjang minggu ini. Kami semua patut sangat bangga dengan prestasi yang dilakukan,” katanya.

Dalam saingan Peringkat 8 sejauh 188.3 kilometer (km), hari ini, Matteo Malucelli (XDS Astana) muncul juara selepas mencatat masa 4:5:17s, mengatasi Riley Pickrell (Modern Adventure Pro Cycling) yang merekodkan masa sama.

Christian Rees (Team Picnic PostNL) menduduki tempat ketiga.

– UTUSAN