KUALA LUMPUR – Pasukan ProTeam dari Switzerland, Tudor Pro Cycling Team bakal mempertaruhkan kehebatan pakar pecut barunya, Alberto Dainese untuk menguasai laluan landai dalam saingan lapan hari PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) dari 28 September hingga 5 Oktober depan.
Tanpa menyenaraikan Arvid de Kleijn yang mengumpul empat kemenangan peringkat pada saingan PLTdL23 dan 2024, Dainese hadir dengan reputasi lebih besar sebagai pemenang dua peringkat di Giro d’Italia 2022 dan 2023, selain satu peringkat di Vuelta a Espana 2023.
Pelumba kelahiran Abano Terme, Itali berusia 27 tahun itu dilamar Tudor dari pasukan Sunweb pada tahun lalu dan diletakkan sebagai senjata utama dari kalangan nama enam pelumba yang dihantar pasukan itu kepada Sekretariat PLTdL25.
Ketua Pegawai Operasi PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya kurang pasti mengapa Tudor tidak meletakkan nama de Kleijn dalam senarai awal berkenaan, tetapi kelibat Dainese menunjukkan tekad pasukan yang tampil buat tahun ketiga berturut-turut itu untuk menguasai laluan landai serta merebut kembali jersi oren Raja Pecut tajaan Kementerian Belia dan Sukan.
“Arvid mempunyai peminat tersendiri dalam PLTdL sejak dia menang dua peringkat pada 2023 dan jersi Raja Pecut tetapi walaupun mengulangi kemenangan dua lagi peringkat pada tahun lalu, dia bagaimanapun gagal mempertahankan jersi Raja Pecut yang dirampas Matteo Malucelli.
“Mungkin atas faktor itu, Tudor menghantar Dainese yang mempunyai reputasi lebih besar dan pengalaman lebih luas di pentas Grand Tour, walaupun ini bakal menjadi penampilan pertama Dainese dalam PLTdL yang diakui mempunyai cabaran tersendiri berlumba di bawah cuaca yang lebih ekstrim,” jelas Emir.
Pelumba lain yang berada dalam senarai awal Tudor ialah Robin Froideraux; Mika Heming; Mathys Rondel; Roland Thalmann dan Yannis Voisard.
Froideraux, 27, dan Heming, 25, dijangka bertindak sebagai pembantu (leadout) Dainese dalam kayuhan ke garisan penamat manakala Voisard menjadi taruhan Tudor untuk mencabar perebutan jersi hijau tajaan PETRONAS dalam klasifikasi individu keseluruhan.
Voisard, 27, turut mempunyai pengalaman berkayuh dalam Giro ketika bersama pasukan Arkea-Samsic pada 2021, selain memenangi Alpes Isere Tour pada 2022, dan berpengalaman dalam perlumbaan klasik Liege-Bastogne-Liege, La Fleche Wallonie dan Tour a Algarve.
Dia bakal dibantu Rondel, 22, dan Thalmann, 32, terutama apabila pelumba menghadapi pendakian pertama pada Peringkat 3 Gerik-Pasir Puteh sejauh 198.2km, yang mempunyai satu pendakian kategori 1 (Cat1) dan satu pendakian Cat2 apabila merentasi Banjaran Titiwangsa.
“Tudor agak kurang menyerlah dalam persaingan jersi hijau individu keseluruhan kerana pelumba terbaiknya pada 2023 adalah Hannas Wilksch yang berada di tangga ke-15 keseluruhan, manakala pada tahun lalu Rick Pluimers sekadar di tangga ke-12.
“Voisard dilihat pertaruhan terbaik mereka dalam perebutan jersi hijau PETRONAS dan jersi polka dot Raja Bukit pada tahun ini,” kata Emir lagi.
PLTdL 2025 yang merentasi 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,243.5km tahun ini akan disertai 22 pasukan, melibatkan 3 pasukan WorldTeam, 8 pasukan ProTeam, 10 pasukan Benua (Continental) dan satu pasukan kebangsaan Malaysia.
PLTdL25 yang berstatus ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.5 kilometer (km) diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (170.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km); peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8km); peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (133.7km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.4km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.6km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.5km) pada 5 Oktober.
TUDOR PRO CYCLING TEAM
- Alberto Dainese (ITA)
- Robin Froideraux (SUI)
- Mika Heming (GER)
- Mathys Rondel (FRA)
- Roland Thalmann (SUI)
- Yannis Voisard (SUI)