KUALA LUMPUR – Dua bekas pelumba import penuh berpengalaman yang pernah menyarungi jersi Terengganu Cycling Team (TSG) menjadi senjata pasukan ProTeam Sepanyol, Burgos-Burpellet BH dalam saingan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) yang akan berlangsung pada 28 September hingga 5 Oktober depan.

Dalam senarai awal enam pelumba yang dihantar pasukan itu kepada Sekretariat PLTdL, pasukan yang tampil buat kali keempat berturut-turut itu meletakkan Merhawi Kudus dan Jambaljamts Sainbayar yang tidak asing kepada peminat sukan berbasikal di negara ini, selain mengekalkan nama pemenang jersi polka dot Raja Bukit tahun lalu, Mario Aparicio Munoz.

Tiga pelumba lain adalah David Martin, Georgios Bonglas dan Jose Manuel Diaz Gallego dengan ketiga-tiganya pernah berkayuh dalam saingan PLTdL sebelum ini.

Ketua Pegawai Operasi PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, berdasarkan senarai enam pelumba itu, boleh dikatakan pasukan itu mengejar sekurang-kurangnya tiga gelaran dalam saingan lapan peringkat itu nanti.

“Merhawi Kudus, Sainbayar, Aparicio dan Gallego adalah pelumba yang cukup berpengalaman dan pendaki yang diiktiraf, jadi tidak hairan selain kemenangan di Peringkat 3 Gerik-Pasir Puteh dan Peringkat 5 Temerloh-Bukit Fraser, mereka juga akan memburu jersi hijau keseluruhan individu, jersi polka-dot Raja Bukit dan kedudukan teratas berpasukan keseluruhan,” kata Emir dalam satu kenyataan media hari ini.

Kudus, pelumba Eritrea berusia 31 tahun, pernah menyarung jersi TSG pada tahun lalu dan mula mencipta nama selepas menyertai MTN-Qhubeka pada 2014 di mana dia menduduki tangga kedua individu keseluruhan PLTdL ketika itu.

Selama empat tahun bersama Qhubeka, bakat besarnya membawa pelumba itu menyertai pasukan WorldTeam bersama Astana (2019-2021) dan EF Education (2022-2023) dengan kesempatan berkayuh di Giro d’Italia (2 kali), Tour de France (sekali) dan Vuelta a Espana (6 kali).

Sainbayar, 31, juga pendaki yang disegani, menyarung jersi TSG selama tiga tahun (2021-2023) dan pernah menduduki tangga ke-9 individu keseluruhan pada PLTdL22, selain mengecap banyak kejayaan di peringkat Asia sebelum juara kebangsaan Mongolia itu menyertai Burgos pada tahun lalu.

Aparicio, 25, menyertai Burgos sejak 2021 dan membalas kepercayaan pasukan ProTeam dari Sepanyol itu apabila memenangi gelaran Raja Bukit pada PLTdL24 lalu, dengan mengumpul keseluruhan 27 mata, 5 mata di depan juara individu keseluruhan Max Poole dari Team Firmenich PostNL (kini PIcnic PostNL), selain keenam individu keseluruhan.

Memperkuatkan cabaran Burgos nanti adalah Gallego, 31, pelumba berpengalaman yang pernah dua kali berkayuh dalam Vuelta 2022 dan 2023, serta dua kali memenangi anugerah Kombativiti pada jelajah Grand Tour itu.

Dua pakar pecut Burgos kali ini adalah pelumba Sepanyol Martin, 26, yang berkayuh untuk pasukan Polti Kometa di PLTdL tahun lalu, dan juara kebangsaan 3 kali Greece, Bonglas, 35, yang muncul kali pertama di PLTdL20 bersama pasukan Ssios Miogee Cycling Team.

“Kekuatan Burgos kali ini terarah kepada peringkat pendakian dan dengan empat pendaki, amat menarik untuk melihat percaturan pasukan ini setiap hari, lebih-lebih lagi kelibat Kudus, Sainbayar dan Aparicio di laluan berbukit nanti.

“Dengan segala pengalaman dan ‘rahsia’ bentuk laluan serta cuaca tidak menentu di negara ini, Burgos dilihat mempunyai kekuatan tersendiri sepanjang lapan hari saingan nanti,” kata Emir lagi.

PLTdL25 akan menyusuri semua 12 negeri di Semenanjung Malaysia selama lapan hari, membabitkan jarak keseluruhan 1,243.5km, bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di KLCC.

Jelajah berstatus ProSeries dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia UCI itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).

Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.5 kilometer (km) diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (170.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km); peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8km); peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (133.7km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.4km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.6km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.5km) pada 5 Oktober.

SENARAI PELUMBA BURGOS-BURPELLET BH

  1. MERHAWI KUDUS (ERI)
  2. DAVID MARTIN (ESP)
  3. JAMBALJAMTS SAINBAYAR (MGL)
  4. MARIO APARICIO (ESP)
  5. GEORGIOS BONGLAS (GRE)
  6. JOSE MANUEL DIAZ GALLEGO (ESP)