KRISTOFF, BLIKRA KETUAI CABARAN UNO-X MOBILITY
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Walaupun sudah di penghujung karier, pelumba pasukan ProTeam Uno-X Mobility, Alexander Kristoff tetap dianggap antara pencabar yang perlu diberi perhatian pada jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) yang akan bermula pada 28 September hingga 5 Oktober depan.
Dengan deretan 98 kemenangan sepanjang karier profesional selama 20 tahun, Kristoff mempunyai cukup pengalaman untuk sekurang-kurangnya menambah koleksi kemenangan itu di PLTdL25 nanti, lebih-lebih lagi laluan setiap peringkat kali ini tampak cocok dengan kredibilitinya sebagai pakar pecut dan puncher (gemar membuat pemecahan secara solo).
Tatkala tumpuan terarah kepada rakan sepasukan iaitu Raja Pecut 2022, Erlend Blikra untuk mengulangi pencapaiannya ketika pasukan itu tampil buat kali pertama tiga tahun lalu, laluan panjang seperti Peringkat 3 (Gerik-Pasir Puteh); Peringkat 7 (Melaka-Medini) dan Peringkat 8 (Tangkak-KLCC) seolah-olah amat sesuai dengan gaya Kristoff yang menggemari perlumbaan klasik sehari.
Ketua Pegawai Operasi (COO) PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran Kristoff pada edisi ke-29 PLTdL25 ini, adalah penghormatan cukup besar buat peminat sukan berbasikal di Malaysia, selepas pelumba 38 tahun itu mengumumkan akan bersara pada penghujung musim ini.
“Walaupun Kristoff sudah melepasi era emasnya, kelibatnya di PLTdL25 ini sudah cukup untuk menarik tumpuan ramai dan dengan pengalaman yang amat luas berkayuh di Grand Tour dan perlumbaan klasik monumen, kita tidak akan hairan sekiranya dia terus menambah angka kemenangannya,” kata Emir dalam satu kenyataan.
Kristoff, antara pelumba Norway paling berjaya dalam sejarah sukan itu dan pernah menduduki ranking kedua UCI pada 2015 dan tempat kedua Kejohanan Dunia 2017, mula mencipta nama ketika bersama pasukan Glud & Marstrand-Horsens pada 2006, dan pernah menyarung jersi pasukan handalan dunia seperti BMC Racing, Team Katusha, UAE Team Emirates dan Intermarche-Wanty Gobert, sebelum menyertai Uno-X pada 2023.
Dengan 4 kemenangan peringkat di Tour de France serta kemenangan klasik monumen seperti Milan-San Remo, Gent-Wevelgem dan Tour of Flanders ketika zaman kegemlangannya, Kristoff masih bertenaga dengan pada penghujung karier apabila mencatat dua kemenangan pada tahun ini iaitu di Peringkat 3 Vuelta a Andalucia dan terbaru pada Peringkat 2 Arctic Race of Norway, 8 Ogos lalu.
“Kehadiran Blikra pula menghangatkan saingan jersi oren Raja Pecut tajaan KBS kerana akan terdapat ramai pakar pecut handalan pada saingan tahun ini, termasuk juara bertahan Matteo Malucelli dan Gleb Syritsa (XDS Astana), Alberto Dainese (Tudor), Manuele Tarozzi (Bardiani) dan Fabio Jakobsen (Picnic PostNL),” kata Emir lagi.
Uno-X dijangka menyandarkan harapan kepada tiga pelumba – Armund Grondahl Jansen, Anders Halland Johanessen dan Johannes Kulset untuk mencabar jersi hijau individu keseluruhan tajaan Petronas berdasarkan pengalaman dan kemampuan seimbang ketiga-tiga pelumba itu di laluan berbukit dan landai.
Jensen, 31, yang juga juara kebangsaan Norway 2019, adalah bekas pelumba pasukan Lotto-Jumbo yang pernah 5 kali berkayuh di Tour de France dan pernah memenangi peringkat pertama acara Ujian Masa Berpasukan (TTT) pada 2019.
Johanessen, 25, pula bersama Uno-X sejak 2022 dan diberi kepercayaan berkayuh di Tour de France pada tahun ini dengan menduduki tangga ke-76 keseluruhan, termasuk tempat ke-7 pada Peringkat 10, selain menyinar ketika menjuarai Tour of Slovenia pada Jun lalu.
Kulset, 21, adalah pelumba yang dilahirkan menerusi pasukan pembangunan Uno-X dan menunjukkan potensi besarnya apabila disenaraikan di Tour de France tahun lalu dengan tempat ke-47 keseluruhan dan memenangi jersi Pelumba Muda Terbaik di Tour of AIUla, awal tahun ini.
“Pada penampilan kali pertama 2022 dulu, pelumba terbaik Uno-X adalah Torstein Traeen yang menduduki tangga ketiga individu keseluruhan, di belakang juara Ivan Sosa (Movistar) dan Hugh Carthy (EF Education) manakala Blikra menang Peringkat 6 di Alor Setar. Pasti Uno-X tampil dengan lebih bersedia pada tahun ini,” kata Emir.
Seorang lagi pelumba muda, Simon Dalby, 22, yang memenangi gelaran Pelumba Muda Terbaik GP Jeseniky 2023 dan tempat ke-10 keseluruhan Tour of Oman tahun ini, akan bertindak sebagai pelumba pembantu (domestique).
Edisi ke-29 PLTdL25 akan mengharungi semua 12 negeri di Semenanjung, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,243.5km, yang bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di KLCC.
Perlumbaan berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.5 kilometer (km) diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (170.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km); peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8km); peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (133.7km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.4km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.6km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.5km) pada 5 Oktober.
- BARISAN PELUMBA UNO-X MOBILITY
- ALEXANDER KRISTOFF (NOR)
- AMUND GRODAHL JANSEN (NOR)
- ANDERS HALLAND JOHANESSEN (NOR)
- ERLEND BLIKRA (NOR)
- JOHANNES KULSET (NOR)
- SIMON DALBY (DEN)
SEKRETARIAT PETRONAS LE TOUR de LANGKAWI 2025
MAJLIS SUKAN NEGARA