KUALA LUMPUR – Dua pasukan ProTeam (PT) dari Perancis, Team TotalEnergies dan Unibet Tietema Rockets tampil semula dalam saingan lapan peringkat jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) bermula 28 September ini, selepas lama tidak beraksi dalam jelajah terunggul Asia itu.

TotalEnergies adalah nama baharu bagi pasukan Bonjour, Bouygues Telecom, Bbox-Bouygues dan Europcar yang sering menghiasi PLTdL pada awal dekad lalu sebelum menukar penaja barunya, Direct Energies yang mengambil alih pasukan itu pada 2016 dan berdaftar sebagai pasukan ProTeam pada 2020.

Unibet Tietema Rockets pula pernah beraksi di PLTdL 2007 dengan nama Unibet.com sebelum isu syarikat perjudian dalam sukan berbasikal menyebabkan ia menarik diri seketika daripada menaja pasukan berbasikal profesional sebelum dihidupkan semula pada 2023.

Penampilan semula dua pasukan ini di pentas PLTdL25 menarik perhatian ramai, lebih-lebih lagi apabila berdasarkan senarai pelumba, kedua-duanya cenderung untuk mengejar kedudukan individu keseluruhan (GC) dan berpasukan keseluruhan.

Ketua Pegawai Operasi (COO) PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, dengan sarat pelumba pendaki dan pakar perlumbaan sehari tanpa pakar pecut terkenal, sasaran TotalEnergies dan Unibet lebih tertumpu di peringkat penentuan membabitkan laluan pendakian seperti Gerik-Pasir Puteh, Temerloh-Bukit Fraser dan peringkat terakhir yang membabitkan laluan berbukit di Bukit Antu dan Look Out Ampang.

“Kita yakin bakal ada strategi tersendiri yang akan ditampilkan oleh kedua-dua pasukan dari Perancis ini, lebih-lebih lagi pelumba mereka kaya dengan pengalaman bersaing di pentas Eropah,” kata Emir dalam satu kenyataan hari ini.

TotalEnergies yang mengumpul 8 kemenangan dan 35 podium sepanjang tahun ini, meletakkan empat pakar pendaki iaitu Joris Delbove, Alan Jousseume, Nicola Mancerou dan pelumba Britain, Adam Mitchell manakala Lorenzo Manzin dan Jason Tesson bertindak sebagai pelumba pecut.

Manzin, 31, yang pernah bersama pasukan WorldTeam Francaise de Jeux (FdJ) dianggap pakar pecut berpengalaman kerana empat kali beraksi dalam Grand Tour dan dua perlumbaan klasik, dengan keputusan terbaiknya pernah di tempat kedua Vuelta a Espana 2017, selain dua kali di tempat ketiga dalam Tour of Rwanda pada tahun ini.

Tesson, 27, pula yang mengumpul 9 kemenangan profesional turut dilihat dalam prestasi baik sejak akhir-akhir ini apabila memenangi satu peringkat dalam Tour Poitou-Chaventes en Nouvelle Aquitaine dan di tempat ketiga Peringkat 1 Coppi Bartali.

Delbove, 25, juga mencatat kemenangan peringkat Tour of Rwanda manakala Jausseaume, 27, pernah menduduki tempat kedua Peringkat 4 Vuelta Andalucia tahun ini.

Mitchell, 23, memenangi Tour Nivernais-Morvan manakala Mancerou, 22, yang menyertai TotalEnergies pada 1 Ogos lalu, dijangka bertindak sebagai pembantu.

Unibet pula menyenaraikan semua pelumba yang berkebolehan dalam pendakian di mana Adrien Maire, 24, menang Peringkat 4 Tour of Hellas dalam laluannya menduduki tempat ketiga keseluruhan, selain di tempat kedua Tour du Doubs, dan kesembilan keseluruhan Tour of Turkiye.

Bekas pelumba UKYO, Bardiani dan Kern Pharma, Giovanni Carboni, 30, juga menjadi sandaran pasukan Unibet selepas muncul Raja Bukit Tour of Hellas tahun ini manakala seorang lagi pelumba berpengalaman yang pernah beraksi dengan EF Education dan Uno-X, Odd Christian Eiking, 30, menduduki tempat ketiga keseluruhan Tour of Sibiu.

Tiga lagi pencabar kedudukan individu keseluruhan pasukan itu ialah Cedric Bakke Christophersen, 23; Owen Geleijn, 24; dan pelumba Britain, Zeb Kyffin, 27.

Perlumbaan 8 peringkat PLTdL25 akan melewati semua 12 negeri di Semenanjung Malaysia, membabitkan jarak keseluruhan 1,224.2km yang bermula di Pulau Langkawi pada 28 September ini dan berakhir di KLCC pada 5 Oktober.

Jelajah berstatus 2.ProSeries itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapat kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.5 kilometer (km) diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (170.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km); peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8km); peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (133.7km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.4km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.6km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.5km) pada 5 Oktober.

SENARAI PELUMBA TEAM TOTALENERGIES

  1. JORIS DELBOVE (FRA)
  2. ALAN JOUSSEAUME (FRA)
  3. LORENZO MANZIN (FRA)
  4. NICOLA MANCEROU (FRA)
  5. ADAM MITCHELL (GBR)
  6. JASON TESSON (FRA)

SENARAI PELUMBA UNIBET TIETEMA ROCKETS

  1. ADRIEN MAIRE (FRA)
  2. GIOVANNI CARBONI (ITA)
  3. CEDRIC BAKKE CHRISTOPHERSEN (NOR)
  4. ODD CHRISTIAN EIKING (NOR)
  5. OWEN GELEIJN (NED)
  6. ZEB KYFFIN (GBR)