KUALA TERENGGANU: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Nur Aiman Zariff menepati ramalan untuk menyarung Jersi Merah selaku Raja Bukit pada Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Kerteh ke Kuala Terengganu, hari ini.

Aiman yang berada dalam misi mempertahankan gelaran Raja Bukit keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut berjaya meraih tiga mata keseluruhan pada perlumbaan terpanjang pada edisi ke-27 ini iaitu 187.4 kilometer (km), meninggalkan pencabarnya dari pasukan Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan, dua mata.

Berada di kedudukan ketiga adalah pelumba Thailand Continental Cycling Team, Siriwut Sirironnachai yang mengumpul satu mata.

Pelumba berusia 25 tahun itu menawan zon pendakian pertama di Jerangau untuk meraih dua mata manakala Sirironnachai mengumpul satu mata di zon berkenaan sebelum Aiman terpaksa berpuashati berada di kedudukan kedua di belakang Batsaikhan di zon seterusnya.

“Kalau ikut perancangan memang Aiman nak ambil dua-dua (tawan) zon pendakian tetapi rezeki hari ini hanya berjaya satu,” kata Aiman yang turut menyatakan dia perlu mengumpul sepenuhnya untuk peringkat perlumbaan seterusnya.

Esok, Peringkat 2 dijadual berlangsung dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu sejauh 186.2km membabitkan tiga zon pecutan di Bukit Nenas, Bandar Permaisuri dan Peringat selain dua zon pendakian Cat4 di Setiu dan Pelong.

“Akan cuba seperti hari ini juga tetapi tengok dulu keadaan sebab esok tidak akan mengerah 100 peratus. Aiman perlu memberi fokus untuk Peringkat 3 kerana pada hari itu ada lebih banyak mata untuk pendakian,” kata Aiman.

Peringkat 3 dari Jeli ke Baling sejauh 183.1km menawarkan empat zon pendakian iaitu di Jeli (Cat2), Puncak Titiwangsa (Cat1), Seri Banding (Cat2) dan Sungai Rui (Cat3).

Untuk rekod, Aiman pernah meraih gelaran Raja Bukit iaitu pada 2020 dan 2022.

– Berita Harian