KUALA LUMPUR: Pasukan berstatus WorldTeam, XDS Astana Team hadir ke Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 hadir dengan misi memburu kemenangan peringkat apabila saingan edisi ke-30 itu membuka tirai pada 27 September ini.

Astana tampil dengan barisan yang jelas berorientasikan kemenangan peringkat apabila mempertaruhkan empat pakar pecut dan dua pendaki.

Gabungan Matteo Malucelli dan Gleb Syritsa menjadi sandaran utama Astana untuk menguasai henjutan terakhir secara beramai-ramai, dengan kedua-dua pelumba itu sudah mengumpul 10 kemenangan peringkat LTdL sepanjang 2023 hingga 2025.

Lev Gonov dan pelumba muda Alessio Dalle Vedove pula dijangka membantu memastikan kedua-dua pakar pecut itu berada pada kedudukan terbaik untuk menamatkan saingan di garisan penamat.

Bagi cabaran klasifikasi keseluruhan (GC), pelumba Ecuador berusia 25 tahun, Harold Martin Lopez dijangka menjadi taruhan Astana, dengan Aaron Gate turut memainkan peranan penting ketika laluan pendakian.

Malucelli, 32, yang mempunyai pengalaman luas termasuk beraksi dalam Giro d’Italia 2026, masih dianggap berada pada tahap kompetitif, manakala Syritsa, 26, hadir dengan keyakinan selepas meraih kemenangan peringkat di Tour of Azerbaijan, Mei lalu.

Gonov, 26, yang turut beraksi pada LTdL 2025 dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-50 keseluruhan, bersama Gate, 30, dijangka membantu Lopez ketika pendakian sebelum memberi ruang kepada Malucelli atau Syritsa memburu kemenangan peringkat.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, strategi Astana mudah dibaca berdasarkan barisan yang disenaraikan, namun ia boleh menjadi taruhan besar apabila berdepan tiga pendakian utama.

“Amat jelas Astana yang menampilkan Malucelli dan Syritsa, selain Gate dan Gonov memberi perhatian lebih untuk mencari kemenangan peringkat di laluan landai.

“Tetapi dengan tiga peringkat pendakian yang sukar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands, strategi ini mungkin memakan diri sekiranya tahap kecergasan pelumba pecut mereka tidak pulih sepenuhnya selepas pendakian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebagai rekod, 19 pelumba tersingkir kerana gagal melepasi had masa pada peringkat keempat LTdL 2024 dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong selepas mengharungi pendakian Cameron Highlands sehari sebelumnya.

LTdL 2026 berstatus 2.ProSeries akan bermula dengan peringkat pertama dari Shah Alam ke Kampar pada 27 September dan berakhir menerusi peringkat kelapan dari Muar ke Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer.

– Harian Metro